SPP jangan berselindung isu penempatan guru ketika temuduga - NUTP

SHAH ALAM-Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas tanpa berselindung mengenai penempatan guru yang diambil secara one off agar mereka lebih bersedia dari segi mental dan fizikal apabila dihantar ke Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, masalah guru menolak penempatan perkhidmatan itu dapat diatasi sekiranya mereka diberitahu secara terperinci atau lebih awal mengenai perkara tersebut.


Beliau memberi contoh, ketika sesi temu duga, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) seharusnya memberitahu calon-calon bahawa ia adalah pengambilan secara one off untuk mengajar di Sabah atau Sarawak.


"Selain mempunyai kebolehan sebagai guru, aspek kewajaran dan kesanggupan mereka untuk dihantar ke mana-mana sekolah juga perlu diambil kira oleh SPP.


"Sepatutnya mereka perlu faham apabila kerajaan membuat pengambilan secara one off sudah pasti mahu dihantar ke sekolah yang kekurangan guru. Kalau semua mahu duduk di bandar dan kampung sendiri tidak tercapailah objektif kerajaan," jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.


Media melaporkan seramai 222 daripada 3,227.guru yang diambil secara one off tidak melaporkan diri atau menolak penempatan perkhidmatan di Sarawak.


Bagi mengatasi perkara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya melaksanakan Program Pembangunan Guru Baharu sebagai satu program yang menyokong pembangunan profesionalisme kepada guru baharu.


Aminuddin berpendapat, golongan yang menolak penempatan itu memohon untuk menjadi guru hanya sebagai peluang pekerjaan.


"la adalah sesuatu yang harus dikesalkan. Saya percaya mungkin ada dalam kalangan yang tidak berjaya dalam pemilihan temu duga sanggup dihantar ke Sarawak.


"Sehubungan itu, saya harap proses pemilihan seterusnya nanti SPP perlu memberi keutamaan dari segi kesediaan individu untuk dihantar di mana-mana sekolah," ujarnya.

Previous Post Next Post