KPM tangani limpahan murid OKU di sekolah


KUALA LUMPUR- Kemeterian Pendidikan (KPM) telah mengambil beberapa langkah bagi menangani permasalahan limpahan pelajar orang kurang upaya (OKU) di sekolah, termasuk menggunakan bilik-bilik khas sebagai bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP).


Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kerajaan mengamalkan dasar sifar penolakan atau Zero Reject Policy iaitu menempatkan murid berkeperluan pendidikan knas (MBPK) di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah bawah KPM.


"KPM telah mengambil beberapa langkah bagi menangani peningkatan bilangan MBPK pada setiap tahun, antaranya menambah bilangan sekolah yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).


"Pada 2018, bilangan PPKI nadalah sebanyak 2,343 buah dan telah meningkat kepada 2,632 buah pada 2022.


"Selain itu, kita menerima MBPK lebih daripada kapasiti sekolah di Sekolah Pendidikan Khas (SPK) dengan menggunakan bilik-bilik khas sebagai bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP).


Bilangan MBPK di SPK pada tahun 2018 ialah seramai 2,530 orang dan telah meningkat kepada 2,710 orang pada tahun 2022," katanya.


Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang bertanyakan langkah KPM bagi menangani masalah limpahan pelajar OKU di sekolah-sekolah.


Hui Ying menambah, kementerian juga menyalurkan peruntukan bagi penyediaan kemudahan mesra OKU dan lain-lain penyelenggaraan di Program Pendidikan Khas Integrasi. Jelas Hui Ying, pada 2018, peruntukan yang diterima untuk pendidikan khas ialah berjumlah RM2.3 juta.


"Peruntukan itu telah meningkat kepada RM34.07 juta pada 2019, RM39.61 juta (2020), RM33.5 juta (2021) dan pada 2022 sebanyak RM28.2 juta telah diterima. 


"Peruntukan tersebut telah disalurkan bagi memastikan kemudahan fasiliti dapat diselenggarakan dan seterusnya dimanfaatkan oleh MBPK dengan baik," kata beliau.

Previous Post Next Post