Jerayawara Pendidikan Madani platform kumpul isu - Menteri



SEREMBAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadikan Jerayawara Pendidikan Madani sebagai platform terbaik untuk mendapatkan maklum balas pelbagai isu serta mendekatkan warga kementerian keseluruhannya.


Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, menerusi program berkenaan, pihaknya akan mengadakan pertemuan secara santai dengan komuniti pendidikan di setiap negeri termasuk pelajar.


Menurutnya, program itu bermula di Negeri Sembilan dan akan diteruskan di negeri-negeri lain secara berperingkat selepas ini.


“Konsepnya ringkas dan santai sahaja, berkenalan dan beramah mesra. Kami mulakan di Negeri Sembilan dan seperti hari ini (Jumaat) pengisiannya berkait dengan Ramadan, apa yang penting kami mahu mendekatkan dengan warga kementerian.


“Di setiap jelajah program ini pasti kami akan mengambil isu-isu yang dihadapi guru-guru, tetapi ia bukanlah sesi townhall yang serius. Ia hanya majlis sembang dan makan-makan sambil dapat memperoleh pelbagai maklum balas guru, pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Jerayawara Pendidikan Madani di sini pada Jumaat.


Pada majlis berkenaan beliau turut menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Bank Islam diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan dan Yayasan Didik Negara diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hardian Hadir.


Fadhlina turut menyampaikan sumbangan kepada seramai 100 anak-anak yatim terdiri daripada murid-murid sekolah di Negeri Sembilan.


"Melalui kerjasama korporat, kita dapat mengumpulkan sumbangan untuk manfaat murid dan sekolah," katanya.


Sementara itu katanya,minggu pertama sesi persekolahan tanpa kelas akademik menerima maklum balas positif daripada warga pendidik dan ibu bapa.


“Alhamdulillah semua gembira, minggu pertama memang menjadi, semua sangat gembira dan menceriakan jadi kami lihat semua sekolah dapat impak yang cukup berkesan daripada hala tuju yang ditetapkan di mana minggu pertama tidak ada sesi akademik dan menjadi sesi suai kenal, ia berjaya,” katanya.

Previous Post Next Post