[Video] Murid cedera dipukul, ditendang akibat perselisihan faham

 

Murid tingkatan tiga dibuli dan dibelasah sehingga mengalami kecederaan dalam kes buli pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Taman Melawati pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan beberapa murid tingkatan 5 sebuah sekolah di Taman Melawati, di sini, kerana disyaki membuli seorang murid tingkatan 3.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu mendakwa ditumbuk di bahagian dada kiri, dicekik dan ditendang bahagian belakang badan oleh seorang murid lelaki tingkatan 5 yang dikenalinya semasa berada di tangga sekolah tersebut pada jam 9.30 pagi 8 Mei lalu.

Tambah beliau, murid lelaki itu juga mendakwa dia diugut akan di siku di bahagian muka oleh murid senior itu sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera.

“Pada jam lebih kurang 3 petang pada hari sama kejadian, mangsa telah diajak oleh lima suspek murid ke Bukit Mar Mar, Kemensah lalu dipukul.

“Salah seorang suspek turut menumbuk di bahagian muka pengadu sebanyak empat kali manakala kejadian itu disaksikan oleh lebih kurang 10 hingga 15 orang murid (sekolah sama),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, akibat insiden itu, pengadu cedera di bahagian dahi kepala, luka di bahagian tepi kening kiri, luka di rahang di bahagian muka kiri serta belakang tengkuk mengalami kesakitan dan bengkak.


Jelasnya, siasatan mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham kerana tidak menghormati sekumpulan murid senior, tingkatan 5, sekolah tersebut.

“Kesemua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut telah dipanggil oleh polis untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kes diisiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Katanya, individu yang disabitkan kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette
Previous Post Next Post