Sekolah ‘larang’ pelajar berpakaian tradisional kaum lain disiasat

Imej hiasan

Siasatan telah dimulakan ke atas sebuah sekolah di Selangor yang didakwa menghalang pelajar daripada berpakaian tradisional kaum lain semasa sambutan Merdeka.


Menurut seorang pegawai dari pejabat Timbalan Menteri Pendidikan, siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Selangor, dan tindakan sewajarnya akan didedahkan sebaik siasatan selesai. 

Pegawai itu, yang tidak boleh dinamakan kerana tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media, itu berkata pejabat ketuanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, pagi ini.

Sebelum ini, FMT melaporkan sekolah menengah itu menghalang pelajarnya daripada memakai pakaian tradisional kaum lain. 

Memetik seorang pelajar, portal itu melaporkan, pihak sekolah juga tidak membenarkan pelajar India memakai sari bagi menghadiri sambutan berkenaan. Pelajar India yang memakai “tali suci” di pergelangan tangan mereka juga diarahkan supaya menanggalkannya.

“Pelajar Cina hanya dibenarkan memakai cheongsam atau hanfu. Bagaimanapun, pelajar India tidak diberi peluang untuk memakai sari.

“Guru disiplin mengarahkan pelajar yang memakai sari untuk menulis nama dalam senarai pelajar yang tidak mematuhi kod pakaian.

“Nama mereka juga akan direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), yang mungkin menjejaskan rekod pelajar pada masa depan,” kata seorang pelajar perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Susan kepada portal itu.

Menurut laporan, ibu bapa yang tidak berpuas hati telah membawa rungutan mereka ke ruang sembang kumpulan WhatsApp, tetapi guru besar sekolah berkenaan masih belum menangani isu tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi pihak sekolah dan tidak menyiarkan nama sekolah sementara menunggu reaksi mereka.
Previous Post Next Post