Ibu bapa liat bayar sumbangan PIBG jejaskan SK, SMK

Imej hiasan

ANGGAPAN bahawa kemudahan prasarana sekolah adalah tanggungjawab 100 peratus daripada pihak kerajaan atau Kementerian Pendidikan (KPM) menyebabkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menghadapi kekangan untuk membantu pihak sekolah.

Anggapan itu mempengaruhi sikap ibu bapa dalam melunaskan sumbangan PIBG sekaligus menyebabkan ia tidak mempunyai dana mencukupi untuk membantu sepenuhnya atau sebahagian daripada kemudahan diperlukan sekolah.

Meskipun sumbangan PIBG tidak wajib malah bukan juga tanggungjawab pertubuhan itu menyediakan prasarana sekolah, tetapi peranannya penting dalam membina ekosistem pendidikan yang kondusif.

Justeru itu, peranan ibu bapa melalui PIBG dan alumni juga adalah penting dalam membantu memastikan sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah menengah kebangsaan (SMK) mempunyai kemudahan prasarana yang lengkap dan terbaik.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Juhari Mohamad Nor, berkata yuran PIBG sememangnya sudah ditetapkan oleh setiap sekolah mengikut kemampuan ibu bapa di kawasan masing-masing.

"Yuran PIBG yang dikenakan kepada ibu bapa tidak membabitkan aspek keperluan prasarana sekolah, namun tidak boleh dinafikan PIBG boleh menyumbang kepada aspek itu.

"Walaupun boleh dikatakan hampir semua sekolah di Malaysia ini sudah mempunyai kemudahan asas prasarana yang lengkap, tapi terdapat perbezaan ketara dalam beberapa aspek terutama dari segi alat bantuan mengajar atau kemudahan peralatan canggih jika dibandingkan antara SK, SMK dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJKC).

"Kita terpaksa terima hakikat bahawa kemudahan di SJKC dan SMJKC mempunyai kelebihan dari aspek prasarana, tapi kita harus tahu bahawa mereka mendapatkannya atas peranan dimainkan PIBG dan alumni," katanya kepada BH.

Juhari berkata, PIBG di SK dan SMK seharusnya memainkan peranan proaktif dalam membantu pihak sekolah meningkatkan lagi kemudahan prasarana diperlukan untuk kepentingan dan keselesaan murid.

Beliau berkata, walaupun yuran PIBG yang dikenakan tidak tinggi, tetapi ia amat penting dalam memastikan pertubuhan itu dapat berfungsi dengan baik untuk membantu dan menjayakan agenda sekolah.

"Bagaimanapun PIBG sudah tentu akan berhadapan dengan kekangan dari segi sumber dana andai ibu bapa tidak menjelaskan yuran.

"Jesteru, kesedaran ibu bapa adalah penting terhadap tanggungjawab mereka dalam melunaskan yuran PIBG," katanya.

Bagaimanapun kata Juhari, kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk membantu meningkatkan kemudahan prasarana sekolah di SK dan SMK sememangnya ada namun tidak menyeluruh. Misalnya, ada PIBG dan alumni membantu mendirikan surau di sekolah bagi kemudahan murid juga guru.

Namun katanya, tidak dinafikan ada juga ibu bapa yang liat untuk membayar yuran PIBG atas anggapan ia bukan wajib sebaliknya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kesemua prasarana sekolah.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani (SGS) Seremban, Zainal Abidin Salleh, berkata fungsi PIBG hanya membantu pihak sekolah bagi menampung sebarang kekurangan terutama dari aspek meningkatkan kemudahan prasarana.

Katanya, sememangnya aspek prasarana sekolah terutama membabitkan perkara yang kritikal seperti struktur bangunan dan sebagainya adalah di bawah tanggungjawab pihak kerajaan.

Bagaimanapun dalam beberapa perkara lain seperti menambah kemudahan komputer riba untuk pelajar atau memasang sistem penghawa dingin di dewan dan lain-lain memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak lain terutama PIBG.

"Dalam hal ini, PIBG memang akan berusaha memainkan peranan dan membantu pihak sekolah, namun ada kala ia sukar kerana dana dimiliki terhad dan tidak mencukupi untuk menyumbang.

"Ia berlaku apabila ada ibu bapa yang tidak menjelaskan yuran, manakala tidak ramai pula alumni yang sedia dan berkemampuan untuk membantu sekolah," katanya.

Zainal Abidin berkata, ibu bapa di SK dan SMK terdiri daripada pelbagai kategori serta latar belakang kerjaya. Justeru, mungkin bagi sesetengah ibu bapa yuran PIBG sebanyak RM150 tidak membebankan tetapi ia jumlah besar bagi yang lain.

Bagaimanapun beliau tidak menolak ada ibu bapa yang mampu tetapi enggan menyumbang. Hal ini mungkin disebabkan anggapan yuran PIBG tidak penting kerana sekolah sudah menerima peruntukan daripada kementerian berkaitan.

Hal ini tidak tepat kerana katanya, pihak sekolah tidak mempunyai peruntukan menambah kemudahan prasarana atau peralatan seperti membeli kipas atau memasang sistem penghawa dingin di dewan.

"Jika ibu bapa sedar semua perkara ini, saya fikir banyak masalah di sekolah dapat diselesaikan.

"Seperkara yang perlu diingat bilangan SK dan SMK lebih banyak berbanding SJKC dan SMJKC, jadi sukar untuk SK atau SMK mendapatkan peruntukan yang besar.

"Justeru, ibu bapa dan PIBG serta alumni seharusnya dapat memainkan peranan supaya SK dan SMK dapat bersaing dengan sekolah vernakular dari aspek prasarana yang lengkap," katanya.

Sementara itu bagi Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Puteri Seremban, Noor Fadzli Shah Noor Hashim, berkata kesedaran ibu bapa terhadap usaha membantu pihak sekolah meningkatkan kemudahan prasarana sekolah masih kecil menyebabkan sumbangan yuran PIBG agak terbatas.

"Justeru, dengan dana terhad PIBG terpaksa memberikan keutamaan kepada aspek tertentu saja.

"Misalnya ia digunakan untuk aktiviti berbentuk pendidikan dan kokurikulum bagi peningkatan prestasi murid, selain kebajikan serta membaiki infrastruktur yang rosak berbanding bantuan meningkat prasarana bersaiz besar," katanya.

Artikel: Berita Harian

Previous Post Next Post