Tiada rasa 'sense of belonging' punca ibu bapa liat di SK, SMK - Pensyarah

Imej hiasan

Laporan akhbar Berita Harian hari ini melaporkan sikap ibu yang liat untuk membayar sumbangan PIBG serta alumni yang kurang berfungsi menjadi punca sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan tidak dapat berkembang daripada aspek prasarana.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mengulas perkara tersebut di dalam satu hantarannya melalui Facebook beliau.

"Laporan ini tidak memberi jawapan yang memuaskan kecuali hanya menyatakan puncanya adalah sikap kebanyakan ibu bapa di sekolah kebangsaan  yang menganggap urusan sekolah adalah tanggungjawab kerajaan bukan urusan mereka," katanya.

Beliau berkata, persoalan yang lebih mendalam sepatutnya diberikan oleh wartawan ini. Mengapa ibu bapa sekolah kebangsaan bersikap begitu? Mengapa mereka 'liat' menyumbang dan menganggap ini semua adalah urusan kerajaan sahaja? 

"96% murid sekolah kebangsaan adalah murid Melayu-Bumiputera. Jadi sebenarnya, laporan ini adalah tentang ibubapa Melayu. Betulkah orang Melayu kedekut? liat untuk menyumbang? Saya kurang setuju. 

"Sebenarnya, orang Melayu sangat pemurah. Sudah ribuan masjid, surau dan pusat tahfiz di negara ini dibina hasil sedekah, derma, infaq dan wakaf daripada orang Melayu. Tak cukup dalam negara, orang Melayu berlumba untuk menyumbangkan kepada orang Palestin, Kemboja, Syria, Bosnia dan belasan negara luar yang memerlukan bantuan. Orang Melayu tidak kedekut, apalagi untuk tujuan agama dan pendidikan," jelasnya.

Menurut beliau, sikap ibu bapa Melayu yang dikatakan 'liat' ini bukan muncul secara tiba -tiba.

"Maksudnya, bukan secara tiba -tiba sahaja ibu bapa sekolah kebangsaan jadi kedekut nak beri sumbangan pada PIBG atau pihak sekolah. Sikap ini sebenarnya adalah respons mereka kepada bagaimana mereka sebagai ibu bapa dilayan oleh pihak berkuasa pendidikan," katanya lagi.

Beliau menjelaskan, selama ini di sekolah kebangsaan, diamalkan sistem pendidikan yang sangat berpusat. Semua keputusan dibuat oleh pengurusan  pendidikan di peringkat pusat.

"Apabila semuanya telah diputuskan di peringkat pusat, tentulah para ibu bapa tidak merasa kesepunyaan terhadap sekolah (tiada sense of belonging). 

"Jadi walaupun pun ada ibu bapa yang hadir ke sekolah, itu bukanlah untuk tujuan pembangunan sekolah. Sekali atau dua kali setahun sahaja ibu bapa dijemput, itu pun atas urusan pelajaran anak-anak masing-masing," jelasnya.

Beliau kemudiaanya membandingkan dengan cara pengurusan di sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC). 

"Mereka ada Lembaga Pengelola Sekolah yang sebahagian besar ahlinya dalam kalangan ibu bapa. Lembaga Pengelola Sekolah ini berfungsi untuk membuat keputusan-keputusan penting untuk pengurusan sekolah. 

"Malah kalau Lembaga Pengelola Sekolah nak cadangkan PGB ditukarkan pun boleh. Mesyuarat Lembaga Pengelola sekolah diadakan secara berkala. PGB kena bentangkan laporan kemajuan sekolah pada Lembaga Pengelola Sekolah. Setiap sen sumbangan ibu bapa dan pihak swasta akan diteliti sedalam-dalamnya oleh Lembaga Pengelola Sekolah. 

"Sekarang anda sudah nampak bezanya antara layanan terhadap ibu bapa di sekolah kebangsaan dan SJKC?  Bila ibu bapa dilibatkan dalam urusan sekolah. Bila ibu bapa dimaklumkan secara teliti setiap sen perbelanjaan sekolah, timbulkan rasa kepercayaan atau 'trust' yang tinggi para ibu bapa kepada pihak sekolah. 

"Sebab itulah juga sumbangan akan selalu masuk sebab ibu bapa dan syarikat swasta ada rasa 'sense of belonging' dan rasa 'trust' yang tinggi. 

"Ibubapa mana yang sanggup beri sumbangan yang besar jika mereka sendiri tiada ada rasa 'sense of belonging' dan 'trust' yang tinggi pada sekolah anak-anak mereka? Logiklah kan?" katanya lagi.

Menurutnya lagi, di mana-mana sahaja akan ada ibu bapa yang memang jenis kedekut. Bukan sahaja di sekolah kebangsaan, malah SJKC juga ibu bapa jenis kedekut. 

"Saya tahu, sebab dulu saya pernah bertugas di sekolah menengah jenis kebangsaan. 

"Nak ibu bapa menyumbang, nak ibu bapa terlibat dengan program sekolah, perkara pertama ialah kena bina dahulu rasa 'sense of belonging' dan 'trust' ibu bapa pada pihak sekolah. 

Beliau menegaskan supaya autonomi penuh diberi pada sekolah dan ibu bapa untuk merancang pembangunan sekolah di tempat masing -masing.

"Jangan terlalu sentralized sangat. Tak kanlah, semua perkara kena tunggu jawapan yang datangnya dari Putrajaya. 

'Jika ibu bapa sudah ada rasa 'sense of belonging' dan ada rasa 'trust' yang tinggi pada pihak sekolah, saya pasti laporan akhbar ini tentu berbeza bunyinya," kata beliau lagi.

Previous Post Next Post