Prasarana sekolah, bahasa Mandarin tarik ibu bapa hantar anak ke SJKC

Imej hiasan

INGIN anak mempelajari bahasa Mandarin selain prasarana sekolah serba lengkap seperti dewan berhawa dingin, kelas yang baik serta peralatan terkini seperti 'smart tv' antara faktor menyebabkan sebahagian ibu bapa Melayu menyekolahkan anak mereka di sekolah vernakular.

Walaupun masih terdapat kebimbangan misalnya anak mereka terpinggir sebagai golongan minoriti di sekolah-sekolah berkenaan, namun peningkatan murid Melayu di sekolah vernakular dilihat semakin ketara kebelakangan ini.

Timbalan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Abd Ghani Zainudin, ketika mengulas fenomena itu mengakui, hari ini hampir di mana-mana berlaku penambahan ketara dari segi bilangan ibu bapa Melayu menghantar anak ke sekolah vernakular.

Beliau yang juga Pengerusi NUTP Cawangan Negeri Sembilan, berkata kemampuan mempelajari dan menguasai bahasa Mandarin dalam kalangan murid di sekolah vernakular menjadi tarikan kepada pelajar Melayu yang bersekolah di situ berbanding peluang terhad ditawarkan sekolah kebangsaan.

"Di Negeri Sembilan misalnya, kalau dulu ramai murid Melayu belajar di sekolah vernakular di Batu Kikir, tapi hari ini di mana-mana sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) pun berlaku pertambahan murid Melayu yang ketara.

"Walaupun murid Melayu yang belajar di SJKC boleh disifatkan sebagai 'anak tiri' tetapi itu tidak menghalang ibu bapa menghantar anak ke sekolah berkenaan.

"Mereka melihat anak yang belajar di sekolah vernakular mempunyai kelebihan berbanding di sekolah kebangsaan terutama dari aspek menguasai bahasa Mandarin," katanya.

Katanya, umumnya orang Melayu mengutamakan isu bahasa justeru menguasai Mandarin memberi kelebihan kepada anak mereka terutama dari segi urusan jual beli.

"Malah dari segi ekonomi pula, saya melihat negara ini mempunyai hubungan baik dengan Republik China itu sendiri sekaligus mereka yang berupaya menguasai bahasa Mandarin sudah tentu ada kelebihan tersendiri," katanya.

Abd Ghani berkata, dari segi pengurusan pula sekolah vernakular sama ada sekolah kebangsaan atau menengah, mempunyai kelebihan dari segi perolehan dana bagi pembangunan sekolah dan murid.

Katanya, kebanyakan alumni sekolah vernakular sedia menyumbang demi pembangunan sekolah malah dilihat lebih agresif dan tersusun melancarkan pelbagai aktiviti untuk sekolah bagi manfaat murid. Justeru katanya, tidak hairanlah hal sebegini menarik perhatian ibu bapa.


Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) Mohd Azizee Hasan. Gambar NSTP/Mohd Amin Jalil

Bagi Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) Mohd Azizee Hasan, mengakui keinginan anak menguasai bahasa lain mempengaruhi ibu bapa Melayu menghantar anak ke sekolah vernakular.

Katanya, sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa ramai ibu bapa mahu membantu anak mereka memperoleh kelebihan misalnya menguasai Mandarin.

"Ibu bapa kini melihat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, jadi ia turut menuntut anak mereka untuk belajar bahasa lain bagi tujuan ekonomi dan pekerjaan.

"Selain itu, kualiti pengajaran dan pembelajaran (PnP) guru yang lebih baik di dalam subjek Sains dan Matematik terutama di SJKC, turut mempengaruhi mereka menghantar anak ke sekolah berkenaan," katanya.

Tegas beliau, hal ini ditambah pula dengan prasarana yang disediakan di sekolah vernakular dilihat jauh lebih baik.

Sementara itu bagi Che Wan Rosida Wan Hasan, 40, dari Nilai Negeri Sembilan, mengakui dua anaknya masing-masing berusia 13 dan sembilan tahun, mampu menguasai bahasa Mandarin dengan baik selepas belajar di sebuah SJKC di Nilai.

Beliau yang bertugas sebagai guru di sekolah kebangsaan berkata, dia sengaja memilih SJKC kerana mahu anaknya bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum.

"Saya percaya hal ini mampu memberi kesan baik dari segi sikap, pemikiran serta kegigihan belajar yang lebih tinggi.

"Kelebihan anak belajar di sekolah vernakular dapat membantu mereka menguasai bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris dengan baik kerana kedua-dua bahasa ini adalah bahasa pengantar di SJKC," katanya.

Tegasnya, pengalaman peribadinya menyaksikan prestasi dan pencapaian anaknya bersekolah di situ memberangsangkan dan setara dengan murid lain.

Katanya, secara umum ramai ibu bapa Melayu bimbang untuk menghantar anak ke sekolah vernakular kerana isu seperti makanan halal, selain itu muncul juga isu seperti adakah subjek Pendidikan Islam ditawarkan di SJKC.

"Selalunya isu utama ialah soal makanan halal atau tak halal, Pendidikan Islam diberi keutamaan atau sebaliknya.

"Sebenarnya di kantin sekolah SJKC sememangnya ada menyediakan makanan yang halal, tapi, saya membekalkan makanan sendiri dari rumah untuk anak, dari segi subjek Pendidikan Islam pula, ada ustaz dan ustazah yang mengajar KAFA (Kelas Agama Fardu Ain) di SJKC," katanya.

Rafizah Cian Ling Abdullah. Gambar NSTP/Mohd Amin Jalil

Bagaimanapun bagi, Rafizah Cian Ling Abdullah, 40, berkata meskipun tujuan menguasai Mandarin itu baik tetapi ibu bapa perlu mengukur kebolehan dan keupayaan anak jika mahu menghantar anak ke sekolah vernakular.

"Jangan kerana terlalu hendakkan mereka menguasai bahasa Mandarin, prestasi pelajaran anak terjejas.

"Kalau anak tak faham bahasa Mandarin, mereka langsung tak dapat ikuti pelajaran disampaikan sehingga menyebabkan mereka tercicir," katanya.

Tegas Rafizah Cian Ling, tiada halangan bagi ibu bapa menghantar anak belajar ke sekolah vernakular, namun mereka perlu pastikan anak itu bersedia berhadapan dengan suasana yang berbeza.

Beliau tidak menafikan ada kalangan murid Melayu di SJKC dapat menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin dengan lebih baik kerana lazimnya kedua-dua bahasa itu adalah bahasa pengantar di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, di sekolah kebangsaan juga juga penekanan tetap diberikan kepada kepentingan murid untuk menguasai bahasa Inggeris. Hal ini katanya boleh dilihat di Sekolah Rahang yang menyediakan tiga bahasa pengantar iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Malah beliau menghantar anak-anaknya ke sekolah itu.

" Bagi, saya kedua-dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan dan sekolah vernakular mempunyai kelebihan masing-masing," katanya.

Artikel asal: Berita Harian

Previous Post Next Post