Keperluan mendesak pendidikan kebangsaan untuk berubah

Imej hiasan

Kecenderungan ibu bapa Melayu yang dikatakan semakin memilih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) untuk anak mereka, membuka pelbagai diskusi dalam kalangan pengguna media sosial mengenai sistem pendidikan di Malaysia. 

Pemilihan SJKC untuk persekolahan anak oleh sebahagian ibu bapa Melayu sebenarnya bukanlah perkara baharu. Namun, apabila ia diperdebatkan dalam media sosial, perbincangan itu menjadi hangat. Antara isu yang dibangkitkan netizen adalah keterlibatan dan sumbangan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni yang berjaya adalah antara faktor memperkukuhkan lagi sumber kewangan dan sokongan terhadap sekolah. Ia kemudiannya mendorong kepada lingkungan pendidikan yang bukan hanya kondusif untuk pembelajaran tetapi mampu mempromosikan kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

Hal ini mencetuskan pula perbincangan lain, iaitu adakah ibu bapa mengutamakan kecemerlangan akademik dan kemudahan prasarana melebihi pembentukan karakter serta integrasi sosial? Ia kemudiannya membawa kepada kebimbangan mengenai kelestarian identiti kebangsaan dan budaya.

Netizen berpendapat pentingnya memupuk rasa kebangsaan dan menghormati kepelbagaian budaya seiring dengan penguasaan bahasa serta ilmu pengetahuan, selain satu harapan supaya proses itu turut membina rasa kebersamaan juga meraikan kepelbagaian warisan dan nilai yang dikongsi bersama sebagai rakyat Malaysia.

Dalam hal ini, kata mereka penting untuk membekalkan anak dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global, berikutan kemungkinan diancam 'kehilangan akar budaya dan nilai kebangsaan'. Lantas ada yang menyarankan pendekatan yang lebih inklusif dalam merancang kurikulum dan pengalaman pembelajaran di sekolah supaya semua pelajar tidak kira latar belakang etnik dapat merasai kepentingan dan ke banggaan terhadap identiti nasional mereka.

Justeru ramai juga menggesa akan sekolah kebangsaan kembali melihat cara untuk menarik minat ibu bapa, selain menyediakan lingkungan pembelajaran setara atau lebih baik, tanpa mengorbankan nilai kebangsaan dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas negara.

Hal ini memperlihatkan keperluan mendesak bagi sistem pendidikan kebangsaan untuk berinovasi dan menyesuaikan diri seiring dengan keperluan serta permintaan masa kini. Langkah pertama dalam proses ini, menurut mereka, adalah mengakui serta menghargai kepelbagaian budaya juga bahasa sebagai aset nasional dan bukannya suatu halangan menambah jurang perbezaan antara budaya.

Pupuk kepelbagaian budaya

Ada yang mencadangkan peningkatan penawaran bahasa dalam kurikulum sekolah kebangsaan, ter- masuk memperkukuhkan pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dan memberikan pilihan untuk mempelajari Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai usaha membantu memupuk kepelbagaian budaya.

Selain itu, pelbagai pihak seharusnya tampil membantu sekolah kebangsaan untuk meningkatkan prasarana dan kualiti pengajaran setanding dengan apa yang ditawarkan oleh SJKC. Ini termasuk menyediakan teknologi pendidikan terkini, memperbaiki kemudahan fizikal dan memastikan guru memiliki kemahiran juga sumber yang diperlukan untuk menyampaikan pendidikan berkualiti tinggi. 

Berdasarkan perbincangan pembaca di media sosial, dapat disimpulkan bahawa perjalanan menuju pendidikan inklusif dan holistik ini bukanlah tugas yang mudah atau boleh dicapai dalam masa singkat.

Ia memerlukan dialog berterusan, kolaborasi antara semua pihak terbabit dan keberanian untuk menghadapi serta menyelesaikan cabaran yang ada.

Namun, dengan tekad bersama dan visi yang jelas, diharap sistem pendidikan dapat berkembang lebih baik, bukan hanya memenuhi keperluan semasa tetapi juga mampu merangkumi aspirasi serta impian masa depan.

Siti Hajar Abd Aziz,
Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Alor Gajah

Previous Post Next Post