SJKC sekadar aliran sampingan, tak perlu berlebih memuji - Prof Teo Kok Seong

PENDIRIAN kerajaan terhadap kewajiban sekolah vernakular yang dibuat salah seorang wakilnya daripada etnik Melayu dalam satu temu bual, didapati bukan sahaja amat berlebihan, juga sangat menjengkelkan bagi sesetengah pihak. Ia sepatutnya dibuat secara profesional dalam bentuk bahasa positif tetapi neutral, sebaliknya disampaikan dengan penuh keghairahan, iaitu dengan memperlihat kesayangan dan minat yang sakan, malah dengan keterujaan yang berkobar, yakni perasaan asyik yang tinggi. 

Hal ini dapat dilihat bukan sahaja pada bahasa verbal, iaitu bentuk bahasa yang digunakan, tetapi juga pada bahasa tidak verbal, antaranya gerak badan selain suara. 

Etnik Cina sewaktu memberi tindak balas apabila kedua-dua mahkamah tinggi dan rayuan memutuskan bahawa sekolah vernakular tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996, tidak sesekali memperlihat keghairahan dan keterujaan seperti yang ditunjukkan wakil kerajaan itu kerana menyedari sensitifnya isu ini, lantas tidak langsung memperlihat emosi kegembiraan.

Sebaliknya mereka menunjukan keinsafan selain kesyukuran, walaupun mungkin ia pura-pura sahaja, terhadap sekolah vernakular yang dibenarkan terus wujud. Ini penting untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini kerana isu sekolah vernakular sangat mudah menyinggung pihak tertentu.

Dari satu segi, pendirian wakil kerajaan itu bukan sahaja ibarat lebih sudu daripada kuah, iaitu mengada- ada dan berlebih-lebihan daripada yang sepatutnya. Ia juga boleh membangkitkan kemarahan ramai dalam kalangan etnik Melayu yang menganggap sekolah vernakular sebagai duri dalam daging, iaitu perkara yang amat tidak menyenangkan di negara ini.

Tidak dapat dinafikan pendirian sedemikian bersifat politik untuk terus meraih sokongan padu daripada etnik bukan Melayu. Namun ia tidak perlu sesekali dilakukan sedemikian rupa sehingga etnik Melayu walaupun selaku tuan milik negara ini, kelihatan perlu mengemis di tanah watannya sendiri. Ini dapat dilihat pada temu bual itu dengan wakil kerajaan berkenaan bertanya dua penemu bual bukan Melayu itu, sama ada mereka berpuas hati dengan rumusan yang dibuatnya tentang sekolah vernakular.

Ada bekas wakil kerajaan yang lantang mengatakan bahawa Tanah Melayu tiada lagi setelah Malaysia ditubuhkan, untuk menegaskan bahawa etnik Melayu bukan lagi tuan milik mutlak kepada Persekutuan Malaysia, khususnya Semenanjung. Sebaliknya ia dibayangkan sebagai dimiliki semua etnik secara sama rata. Dengan ini, negara kita hendaklah dikongsi bersama-sama secara sama bahagiannya dalam semua aspek, baik sosiopolitik, sosioekonomi mahupun sosiobudaya.

Sudah tentu pendekatan begini bukan sahaja sangat amat dialu-alukan etnik bukan Melayu, ia juga akan menjadikan mereka naik tocang secara terbuka.

Dengan ini, kita akan melihat mereka lebih berani untuk menjadi besar kepala, lupa diri selain melampaui batas perbuatan. Sesungguhnya ini bukan sifat nasionalisme Malaysia yang hendaklah selalu ditunjangi etnik Melayu selaku tuan punya negara ini.

Dengan kata lain, ia perlu adil pada setiap masa, tetapi tidak boleh sesekali bersifat sama rata pada bila-bila masa. Ini kerana ia bukan cara di sebuah negara yang bertuan yang memerlukan mereka yang mendatanginya harus hidup secara subordinat kepada tuan rumah yang superordinat.

Malangnya sudah ramai etnik Melayu termakan dengan dakyah Malaysia sebuah negara pengunjung. yakni didatangi pelbagai etnik untuk dihuni secara tetap, termasuklah kaum Melayu sendiri yang sering didakwa sebagai kelompok bukan asal, tetapi mengunjungi negara ini dari pelbagai daerah lain di wilayah nusantara ini.

Etnik signifikan Iban di Sarawak dan Kadazan Dusun di Sabah walaupun bukan Melayu secara mutlak, adalah masih Melayu dalam bentuk Melayuan, yakni memiliki ciri keMelayuan, antaranya dari segi sistem bahasa. Ini bermakna mereka adalah sama-sama natif yang berkongsi banyak hal etnik Melayu, yang merupakan kelompok dominan di Nusantara, iaitu Kepulauan Melayu.

Dengan perkembangan semasa, iaitu etnik Melayu sudah mulai liberal dalam politik negara untuk terus mengangkat entiti bukan Melayu sebagai antara jati diri kebangsaan yang definitif selaku identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat, Malaysia boleh merubah daripada negara bertuan kepada negara pengunjung dalam beberapa tahun lagi.

PUJIAN

Berkaitan sekolah Cina, ia tidak perlu dipuji sehingga ia kini semacam sekolah negara yang paling unggul, jauh melebihi sekolah kebangsaan dari semua segi. Antara pujiannya ialah sekolah Cina kini menjadi pilihan ramai ibu bapa, termasuk Melayu kerana prestasinya yang lebih cemerlang, selain lebih banyak kemudahan dan budaya kerja pendidiknya dikatakan lebih tekun.

Apakah yang terjadi kepada usaha dan tindakan kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan hebat semula, sebagai pilihan utama ibu bapa untuk menyekolahkan anak mereka. la adalah janji yang diukirkan pada Bab Tujuh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah. 

Dengan banyak memuji sekolah vernakular dan secara berlebih-lebihan pula, sehingga pendirian yang dibuat itu boleh ditafsirkan sebagai mengesampingkan sekolah kebangsaan yang boleh menjejaskan peranan utama sekolah kebangsaan. la ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Dalam hal ini, kita hendaklah berpada-pada sahaja kerana sekolah vernakular bukan aliran asas lagi utama dalam sistem pendidikan negara. Ia hanya aliran sampingan.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Previous Post Next Post