Isu sekolah vernakular: Menteri Pendidikan beri penjelasan

KUALA LANGAT: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya mendengar pandangan yang disuarakan pelbagai pihak mengenai isu sekolah vernakular di Malaysia.

"Kita dengar pandangan itu, tapi hari ini pendirian KPM (Kementerian Pendirikan) untuk berdiri tegak (bersandarkan Akta Pendidikan 1996), untuk perkukuh akta berkenaan," katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan sesi 2024/2025 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra, Jenjarom, dekat sini hari ini.

Fadhlina ditanya mengenai kenyataan Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa sekolah vernakular hanya aliran sampingan di negara ini dan tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan.

Tegas tokoh akademik itu, sekolah kebangsaan menjadi aliran utama dan 'maruah' bagi sistem pendidikan Malaysia, manakala sekolah vernakular boleh dikatakan menghalang perpaduan negara dan perpaduan kaum.

Menurut Menteri Pendidikan, sekolah vernakular diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan KPM akan berpegang dengan pendirian berkenaan berdasarkan peruntukan dalam akta terbabit.

"Sebagaimana saya katakan sebelum ini, sekolah vernakular diiktiraf oleh Akta Pendidikan dan kita akan terus dengan pendirian tersebut, berdasarkan Akta Pendidikan," kata Fadhlina.

Ditanya mengenai usaha memperkukuhkan bahasa kebangsaan di sekolah vernakular, beliau berkata, ia memang agenda utama KPM.

"Itu memang agenda besar kita. Saya fikir dalam kedudukan hari ni, bahasa kebangsaan masih jadi keutamaan, di samping perkukuh bahasa Inggeris," katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka itu turut mencadangkan kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikan pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Kenyataan berkenaan kemudian dibidas bekas Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy yang menyifatkan masalah perpaduan di negara ini bukan disebabkan sekolah berkenaan, sebaliknya oleh institusi kepartian yang membawa agenda kaum.

Previous Post Next Post