'Kajian semula ekosistem sekolah vernakular wajar, bentuk imej bangsa Malaysia' - Pensyarah


KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan kajian semula ekosistem di sekolah vernakular boleh dilaksana dalam usaha meningkatkan imej institusi pendidikan itu sebagai sekolah yang tidak bersikap perkauman dan lebih membentuk imej bangsa Malaysia.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berhubung perkara itu perlu dinilai dari aspek positif dan mengelak dari membuat tanggapan seolah-olah mahu sekolah ini dimansuh atau ditutup.

Beliau berkata, undang-undang sudah membenarkan kewujudan sekolah ini, jadi sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah dianggap bertentangan dengan keputusan mahkamah.

"Dari segi undang-undang, sudah jelas. Mahkamah Rayuan buat keputusan, jadi isu kewujudan (sekolah vernakular) tak timbul lagi, ia sudah diabsahkan atau disahkan.

"Rakyat suka atau tak, kewujudannya sudah disahkan undang-undang, tak boleh dipertikaikan.

Apa yang disuarakan Muhamad Akmal, jika dilihat dari sudut positif, ia bagus.

"Selepas hampir 200 tahun sekolah vernakular wujud di negara ini, tidak ada masalah untuk kita membuat refleksi dan mengkaji semula ekosistemnya. Sebab sekolah vernakular sekarang bukan seperti zaman dulu.

"Sekarang ramai juga pelajar Melayu, Sabah dan Sarawak belajar di sana. Jadi, perlu juga kajian supaya sekolah vernakular boleh sama-sama dilihat sebagai institusi pendidikan yang benar-benar bersifat Malaysia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anuar berkata, selepas 66 tahun merdeka, tidak ada masalah jika semakan semula dibuat terutama untuk memastikan jumlah kemasukan pelajar pelbagai kaum ke sekolah vernakular ini meningkat.

"Saya tak lihat cadangan Muhamad Akmal sebagai satu ancaman atau usaha untuk menafikan kewujudan sekolah berkenaan, sebaliknya ia bagi menampakkan sekolah vernakular tidak bersifat kaum, terbuka kepada semua anak Melayu, Cina dan India.

"Kita mahu jumlah kemasukan pelajar pelbagai kaum ke sekolah vernakular meningkat, akhirnya menjadi sebahagian sistem sekolah kebangsaan dan menonjolkan imej Malaysia, seperti mementingkan bahasa Melayu, soal adat budaya Malaysia dan sebagainya," katanya.

Semalam, Muhamad Akmal meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Beliau berkata, penilaian itu termasuk dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Selain itu, Muhamad Akmal berkata, kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan perlu dilaksanakan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Previous Post Next Post