Kerajaan negeri rancang wujud sekolah khusus autisme

MELAKA: Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah sekolah khas untuk kanak-kanak autisme khusus bagi golongan B40, lapor akhbar Utusan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, sebelum ini terdapat cadangan untuk mewujudkan pusat pendidikan awal kanak-kanak autisme di setiap zon termasuk di Melaka.

"Buat masa ini tiada sekolah autisme di bawah naungan  kerajaan di Melaka. Hanya terdapat satu dikendalikan pihak swasta di Peringgit dengan yuran kira- kira RM350 untuk seorang pelajar.

"Bagaimanapun, tidak ramai ibu bapa mampu untuk menghantar anak ke sana.

"Justeru, saya terpanggil untuk menubuhkan sekolah autisme di bawah naungan kerajaan negeri yang akan dimanfaatkan keluarga B40 dengan bayaran minimum," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, Kalsom berkata, sejumlah RM20.7 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan keseluruhan untuk orang kurang upaya (OKU) terutama anak istimewa pada tahun lalu. Menurutnya, peruntukan itu bagi pembangunan dan pendidikan anak istimewa serta OKU.

"RM3.3 juta adalah bantuan kewangan kepada 17 pertubuhan pemulihan dalam komuniti (PPDK) melibatkan 97 penyelia dan 519 petugas serta pelatih. Pembayaran elaun murid pendidikan khas pula RM7.76 juta melibatkan 4,334 orang manakala penyelenggaraan kemudahan mesra OKU di 10 sekolah sebanyak RM499,692.

"Projek naik taraf bengkel kemahiran Kurikulum Standard Sekolah Menengah Pendidikan Khas (KSSMPK) Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di 11 sekolah sebanyak RM3,81 juta dan pembinaan bangunan gantian Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir melibat- kan PPKI ialah RM5.33 juta," ujarnya.

Previous Post Next Post