Pembantu guru dapat atasi masalah guru bersara awal - Pensyarah

Imej hiasan via Bing Image Creator


Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mewujudkan jawatan pembantu guru bagi meringankan tugas pendidik itu agar mereka mampu fokus dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, banyak negara maju melaksanakan sistem pembantu guru yang antara lain berperanan menyelesaikan tugas perkeranian seperti pengisian data dan borang dalam sistem serta membantu guru menyediakan bahan bantuan mengajar.

"Malangnya negara kita belum mewujudkan jawatan pembantu guru sedangkan dalam situasi semasa di mana seorang guru secara purata perlu menjaga 40 orang murid dan kehadiran pembantu guru akan dapat membantu guru untuk lebih fokus dalam pengajaran dan pembelajaran," katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh di Dewan Rakyat pada Khamis yang mendedahkan seramai 6,394 guru bersara pilihan pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 5,306 guru.

Kah Woh berkata, Kajian Tinjauan Faktor-Faktor Persaraan Awal Guru dan Kaitannya dengan Pembangunan Profesionalisme Keguruan pada 2022 banyak faktor menyebabkan guru memilih bersara pilihan atau bersara awal antaranya kedudukan kewangan stabil, faedah persaraan, masalah kesihatan, perubahan pelaksanaan dasar dan pendigitalan pendidikan.

Tegasnya, faktor paling kritikal selain menjalankan tanggungjawab mengajar di dalam kelas, guru turut terpaksa melaksanakan kerja perkeranian dan dokumentasi yang menambah beban serta stres.

Mengulas lanjut Anuar berkata, isu guru bersara pilihan perlu dikawal agar tidak berlaku kelompangan besar yang akhirnya merugikan sistem pendidikan.

"Majoriti guru yang bersara pilihan ini dalam kalangan umur 50 tahun ke atas dengan pengalaman luas dalam dunia pendidikan dan seharusnya mereka boleh terus berkhidmat.

"Antara alasan utama kebanyakan memilih bersara pilihan adalah kerana selain tugas hakiki iaitu mengajar, guru turut terbeban dengan tugasan bukan pengajaran," katanya.

Justeru, Anuar menyarankan agar inisiatif tujuh langkah mengurangkan beban guru terus dikuatkuasakan pelaksanaannya dalam usaha mengelak lebih ramai guru memilih opsyen bersara pilihan. Selain itu, beliau turut menyarankan KPM untuk lebih terbuka dalam menerima teguran daripada guru agar sama-sama dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara.

"Mana-mana kementerian sekali pun termasuk KPM harus lebih terbuka dan tidak boleh menganggap teguran atau aduan masyarakat sebagai sesuatu yang negatif.

"Anggaplah ia sebagai ruang untuk mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk guru dan ibu bapa agar lebih cakna dengan isu di lapangan dan seterusnya memikirkan solusi terbaik untuk menanganinya," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang mengakui, isu guru bersara pilihan boleh memberi kesan terhadap masalah kekurangan guru di sekolah.

"Isu guru memilih opsyen bersara pilihan memberi kesan daripada segi tempoh masa agak lama diperlukan dalam proses menggantikan kekosongan yang ditinggalkan, sekali gus boleh mengganggu proses pembelajaran di sekolah yang sememangnya tidak mempunyai guru mencukupi.

"Keduanya, kebanyakan guru yang bersara awal ini berada dalam lingkungan umur 50 hingga 56 tahun dan memiliki lebih kurang 30 tahun pengalaman dalam karier perguruan. Hal ini menjadi satu kerugian untuk sistem pendidikan kita," katanya.

Previous Post Next Post