Sarawak akan bina bangunan sekolah sendiri

Datuk Dr Annuar Rapaee melakukan simbolik perasmian majlis berambeh 'Ging Xi Raya' 2024 bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar, malam tadi.


SIMANGGANG: Kira-kira 200 sekolah daif di negeri ini perlu diambil perhatian untuk dibaik pulih.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kerajaan Sarawak akan membina dahulu menggunakan wang sendiri.

"Kemudian Kerajaan Persekutuan akan bayar kemudian. Ini pendekatan baharu yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis berambeh 'Ging Xi Raya' 2024 bertempat di Tebingan Sungai Batang Lupar, di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak akan menjadi kerajaan negeri pertama yang membiayai terlebih dahulu projek persekutuan di negeri ini bagi mempercepat pelaksanaannya dan kemudian Putrajaya membayar balik.

Dr Annuar berkata sebagai contoh Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam, sebuah sekolah yang dibina oleh kerjaan Sarawak.

Katanya, ia bukan menggunakan duit Kerajaan Persekutuan dengan kos cuma RM33 juta untuk membinanya, sedangkan ada sekolah lain yang serupa telah dibina, tetapi kosnya jauh lebih mahal.

"Sebab itulah kerajaan Sarawak meminta kepada Kerajaan Persekutuan supaya membenarkan Sarawak membina dahulu sekolah yang daif, dan selepas itu Kerajaan Persekutuan bayar kemudian. Ini satu berita mengembirakan," katanya.

Dr Annuar berkata setakat ini, lebih 200 sekolah di negeri ini telah dinaik taraf manakala tujuh sekolah baharu telah dibina oleh kerajaan Sarawak.

Sebenarnya, kemajuan baik pulih sekolah bukannya mudah, kerana ia tidak dapat disiapkan dalam masa setahun.

Beliau berkata ada kalanya tempat terlalu jauh dari bandar, misalnya di Ba'Kelalan bukannya mudah untuk membina sekolah di kawasan tersebut.

"Tetapi kita tidak ada cara lain, kita tiada pilihan lain, kita mesti juga membina di kawasan tersebut walaupun sekolah-sekolah tersebut jauh di luar bandar," katanya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dan Pegawai Khas dari Pejabat Premier Sarawak, Dato Bujang Helmi Hazmi.

Oleh ADI SAFARMAN
Previous Post Next Post