Guru salur bantuan, pengawal keselamatan sekolah dua bulan tidak dibayar gaji



KANGAR: “Nasib baik guru-guru ada menyalurkan sedikit sumbangan bagi membantu kami meneruskan kehidupan seharian selepas dua bulan tidak menerima gaji.” 

Demikian luahan salah seorang daripada 38 pengawal keselamatan di bawah sebuah syarikat di beberapa buah sekolah sekitar negeri ini selepas gaji mereka didakwa tertunggak dua bulan iaitu Ogos dan September sekali gus menyebabkan kehidupan mereka terkesan. 

Difahamkan pengawal-pengawal keselamatan tersebut menghadapi masalah kelewatan pembayaran gaji sejak Julai lalu. 

Mereka hanya menerima gaji untuk Julai pada 24 September lalu manakala gaji Ogos dan September belum diterima sehingga sekarang. 

Malah mereka mendakwa, pihak majikan hanya mengeluarkan notis demi notis pemberitahuan dengan tarikh pembayaran gaji ditangguhkan sepanjang dua bulan lalu. 

Seorang lagi pengawal keselamatan yang juga enggan dikenali berkata, kehidupan mereka terjejas selepas dua bulan tidak menerima gaji sekali gus menyebabkan dia tidak mampu membayar sewa rumah yang juga tertunggak dua bulan. 

Katanya, syarikat tersebut memberi alasan bahawa mereka mempunyai masalah kewangan menyebabkan gaji masih tidak dapat dibayar mengikut waktu. 

“Gaji pokok saya sebulan sekitar RM1,200 dengan dua bulan tertunggak sekitar RM2,400. Sekarang saya hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang juga pengawal keselamatan untuk makan seharian. 

“Nasib baik guru-guru ada juga membantu memberikan bantuan bagi meringankan beban kami,” katanya yang berharap pihak syarikat tersebut dapat segera membayar gaji mereka. 

Seorang lagi pengawal keselamatan yang enggan mendedahkan namanya berkata, dia bekerja dengan syarikat tersebut tiga tahun dan difahamkan tender syarikat berkenaan berakhir pada Disember ini. 

Katanya, mereka masih bekerja seperti biasa meskipun sudah dua bulan tidak menerima gaji yang secara tidak langsung memberi kesan kepadanya dan rakan-rakan lain. 

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini. Disebabkan tunggakkan gaji tersebut, saya juga tidak mampu membayar sewa rumah,” katanya. 

Seorang lagi pengawal keselamatan yang enggan mendedahkan nama memberitahu, isterinya terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi menampung kehidupan mereka selepas dia tidak menerima gaji dua bulan. 

“Makan pula terpaksa catu-catu sahaja memandangkan gaji isteri hanya sekitar RM20 ke RM25 sehari. Saya harap gaji dapat dibayar secepat mungkin,” katanya. 

Manakala seorang lagi pengawal keselamatan berkata, mereka telah menerima lebih kurang 11 kali memo pemberitahuan berhubung kelewatan gaji sebelum ini. 

“Dikatakan esok akan dibayar gaji namun kita tunggu dan lihatlah bagaimana. Apabila tidak menerima gaji ini memang terkesanlah memandangkan kami bukan daripada golongan berada,” katanya. 

Sementara itu, Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi pengawal keselamatan ini selain menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera bagi memastikan syarikat tersebut menjelaskan segala tunggakan gaji pekerja dalam masa terdekat. 

“JPKK juga berpandangan bahawa syarikat yang gagal menjamin hak pekerja dengan membayar gaji tepat pada masanya mengikut ketetapan Akta Kerja 1955 harus disenarai hitamkan daripada terus mendapat kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan daripada mana-mana agensi kerajaan. 

“Syarikat yang mengupah pengawal-pengawal keselamatan ini mendapat kontrak untuk perkhidmatan kawalan keselamatan di premis Kementerian Pendidikan dan ia dibayar terus oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

Post a Comment

0 Comments