Tiada kerja sesuai, lulusan mikrobiologi jadi jaga

JOHOR BAHRU: Memahami kesukaran mendapat kerja apatah lagi berkaitan dalam bidang dipelajari, seorang siswazah tidak mahu berpeluk tubuh apabila sanggup menyarung pakaian ‘jaga’ demi mencari rezeki.

Namun, cita-cita Putera Muhammad Syafiq Abdul Halim, 24, untuk menjadi seorang saintis tidak pernah luntur meskipun bidang pekerjaannya kini boleh dikatakan jauh tersasar dengan Ijazah Sarjana Muda Mikrobiologi yang digenggamnya.

Kini, sudah sembilan bulan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menjadi pengawal keselamatan di Kompleks Mahkamah Johor Bahru yang memerlukan dia bertugas selama 12 jam sehari mengikut syif.

“Berstatus seorang mahasiswa dan mempunyai ijazah sarjana muda tidak bermakna saya tidak boleh melakukan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan walaupun orang cakap macam tak kena dengan apa yang saya pelajari.

“Tetapi dalam situasi sekarang, nak dapat kerja pun payah jadi ini peluang saya waktu ini untuk bekerja dan mencari duit sendiri, saya tak malu memakai seragam pengawal keselamatan, sekurang-kurangnya boleh berdikari dan simpan duit daripada langsung tidak bekerja dan mengharapkan duit ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengakui pada awalnya agak bosan kerana perlu bekerja selama 12 jam namun lama-kelamaan perasaan itu hilang selepas dia sering bersama-sama rakan sekerja lain yang baik dan komited dengan tugas.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia mendapat tahu kekosongan pekerjaan itu daripada bapanya yang juga bekerja di Mahkamah Tinggi sebagai pembantu am rendah selepas tamat belajar tahun lalu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar dan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan itu berkata, cita-citanya untuk menjadi seorang saintis tetap membara dan berharap satu hari nanti akan mencapai impian.

“Saya bercita-cita ingin membangunkan vaksin bagi mengawal pelbagai penyakit terutama dalam musim pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya yang pernah menjalani latihan praktikal di unit makmal sebuah agensi kerajaan sebelum ini.

Putera Muhammad Syafiq turut menasihatkan lepasan universiti sepertinya agar tidak memilih kerja, sebaliknya cari peluang walaupun bergaji rendah kerana sekurang-kurangnya mampu menampung pendapatan semasa.

Previous Post Next Post