Beri ruang calon SPM jawab dengan aman — Pakar

Dr Anuar Ahmad

BERI ruang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjalani peperiksaan secara aman tanpa perlu tergesa-gesa, demikian saran pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad. 

Menurut beliau, tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meletakkan menetapkan peperiksaan pada hari Jumaat dan Sabtu tidak sesuai berikutan ada agama yang mempunyai aturan ibadat pada hari berkenaan.

"Kalau KPM melihat kepada tuntutan agama, tidak sepatutnya hari Jumaat dan Ahad diadakan peperiksaan.

"Pelajar perlu diberi ruang untuk menjalani perperiksaan dengan aman mereka merupakan kumpulan yang menjalani pembelajaran dari rumah dan itu sudah cukup memberi mereka tekanan," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, persiapan mental juga perlu ada buat pelajar bagi menjalani peperiksaan dan jika peperiksaan diadakan terlalu padat ia akan membebankan pelajar.

Jelasnya lagi dia mencadangkan supaya KPM melanjutkan tempoh peperiksaan SPM tahun ini, sekurang-kurangnya tiga hari.

Mengulas lanjut, Anuar menyatakan dia juga tidak jelas kenapa KPM membuat jadual seperti itu, malah mereka tidak menjelaskan kepada orang ramai berhubung isu berkenaan.

Katanya, isu sebenarnya tentang perkara ini adalah komunikasi KPM dengan orang awam.

Katanya, KPM perlu menjelaskan setiap keputusan yang dilakukan supaya orang ramai jelas dengan tujuan mereka.

Beliau mengulas tentang jadual SPM 2021 yang diumumkan pada 17 November lalu yang mendapat kritikan ramai kerana dikatakan tidak sesuai diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

Susulan kritikan itu, pada Isnin, KPM memaklumkan bahawa pihaknya akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan SPM 2021 dalam masa terdekat.

Perkara itu dinyatakan kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi satu video ringkas yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

Menurutnya, KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan oleh KPM.

"Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

"Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya dalam video berdurasi lebih satu minit itu.

Sumber — Majoriti

 

Previous Post Next Post