Kaedah baharu pertukaran guru dapat selesai masalah secara menyeluruh - Radzi



Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneliti secara terperinci bagi mengenalpasti pendekatan terbaik bagi membolehkan lebih banyak permohonan guru dipertimbangkan. 

Perkara tersebut dijelaskan oleh menterinya, Dato' Dr Radzi Jidin ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

"Pendekatan ini termasuklah mengambil kira guru yang berjauhan dengan pasangan, menerima ancaman keselamatan serius serta guru yang mengalami masalah kesihatan kronik.

"Kami dapati surat pekeliling ikhtisas (SPI) mengenai pertukaran guru yang digunakan sebagai rujukan adalah SPI yang dikeluarkan pada tahun 1975. Sebahagian daripada kandungan pekeliling tersebut tidak lagi relevan," jelasnya.

Menurut beliau, KPM telah mengeluarkan Garis Panduan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah dan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menggantikan SPI yang lama itu.

"Sekiranya tiada kekosongan di negeri yang dimohon, KPM akan menawarkan tempat di negeri yang berdekatan yang mempunyai kekosongan jawatan atau opsyen mata pelajaran," katanya lagi.

Beliau berkata, pembaharuan yang dibuat ini diharap dapat memberi penyelesaian kepada permasalahan pertukaran ini secara menyeluruh.

 

Previous Post Next Post