PPM bersalin di prasekolah, SK Rantau Panjang 'sambut' bayi baharu

Imej via FB Norzura Zikir

30 November, 2019 - Kecoh dan bersyukur satu sekolah! 

Begitulah yang dapat digambarkan situasi di SK Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka semalam apabila Pembantu Pengurusan Muridnya (PPM) telah selamat melahirkan seorang bayi yang sihat di prasekolah sekolah tersebut.

Kejadian itu dikongsikan oleh seorang guru, Norazura Zikir di laman Facebooknya. 

"Pengalaman berharga dan takkan dapat dilupakan sampai bila-bila hari ini buat semua warga SK Rantau Panjang.

"Jadi bidan terjun beramai-ramai sambut PPM bersalin di prasekolah," katanya.

Beliau berkata, ambulans ketika itu tiba lewat sedangkan PPMnya itu sudah hampir hendak bersalin.

"Air ketuban pula dah pecah, memang tak boleh tunggu dah, dia (PPM) kata baby dah nak keluar sangat dah," katanya lagi.

Oleh kerana tidak berani untuk menyambut bayi berkenaan, beliau bertanyakan kepada seluruh guru di sekolah tersebut jika ada di antara mereka yang berpengalaman.

"Mujur ada makcik guard dan Pembantu Tadbir, saya hanya duduk di sebelah membantu. Memang berdebar bila tengok kepala baby dah keluar sambil meminta PPM untuk terus push, Alhamdulillah, mudah sangat baby keluar," katanya.

Imej via FB Norzura Zikir

Sementara menunggu ambulans dan pihak hospital tiba, beliau dan rakan-rakan di sekolah mengurus dan memandikan bayi berkenaan dengan apa sahaja kelengkapan yang ada pada ketika itu.

"Puas pujuk baby keluar di hospital, tapi dia nak juga tertulis di surat beranak, tempat lahir SK Rantau Panjang, tak sabar nak pergi sekolah, semoga membesar jadi anak yang pandai, we love u baby," katanya lagi.

Imej via FB Norazura Zikir

Bayi tersebut selamat diiqamahkan oleh seorang ustaz di sekolah tersebut. Menurutnya, keadaan bayi dan ibunya selamat dan sihat.

Previous Post Next Post