Kes buli: Pengetua, warden asrama juga wajar dikenakan tindakan

Imej hiasan

14 Disember - Pengetua wajar dikenakan tindakan sekiranya kes buli berlaku di sekolah. 

Perkara tersebut diulas oleh Datuk Zaharin Mohd Yasin, seorang pengulas politik di dalam satu hantaran Facebook beliau.

Sebelum itu, beliau mempersoalkan mengapa pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dengan kes buli baru-baru ini tidak diambil tindakan.

"Kes buli di MRSM Kuala Kangsar dari segi dalaman MARA tindakan hanya kepada pelajar. Pelajar akan dibuang sekolah, polis pula akan siasat mengikut undang-undang sedia ada. 

"Takkan habis di situ isu buli. Sampai kiamat tidak akan selesai. Di Pahang belaku kes buli di sekolah. Jika berlaku di luar sekolah, itu luar kawalan sekolah," katanya.

Beliau berkata, perkara ini tidak akan selesai sampai bila-bila jika tindakan hanya diambil ke atas sebelah pihak sahaja manakala pihak pentadbiran terlepas.

"Jika MRSM ada rumah kelamin untuk pengetua dan guru dalam kompleks maktab, apa mereka buat? Adakah mereka buat rondaan tengah malam seperti asrama tentera dan polis.

"Jika ada rondaan mengejut dalam asrama yang tidak diketahui masanya, tentu perkara demikian boleh dielakkan," katanya lagi.

Kata beliau lagi, buli berlaku dalam bilik asrama, bukan berlaku sekali sahaja.

"Kebetulan buli itu dirakam, yang tidak rakam tidak diketahui," katanya.

Menurut beliau, kejadian buli bukan sekadar melibatkan fizikal sahaja. Perbuatan buli juga berlaku antara senior dan junior.

"Berapa ramai senior buli pelajar junior seperti di suruh buat kerja cuci kasutnya, seterika baju malah kemas tempat tidur. Ini bukan buli namanya?" katanya lagi.

Beliau berkata, jika perkara berlaku tanpa diketahui oleh Pengetua dan guru, maka mereka adalah pentadbir yang gagal.

"Inilah persoalannya, mengapa hanya murid yang melakukan aksi buli sahaja diambil tindakan? Tidak kepada pengetua dan warden?" katanya.

Mengulas lanjut, Zaharin berkata, sewajarnya MRSM membuat siasatan dalaman mengenai kelemahan pentadbiran maktab tersebut. Jika ada kelemahan ketara dalam siasatan, tindakan disiplin, ditukarkan perlu dilakukan.

Previous Post Next Post