KPM teliti keperluan menangguh lagi sesi persekolahan untuk sekolah terjejas banjir sahaja


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan menangguhkan lagi sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi sekolah yang terjejas teruk akibat banjir.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu bergantung kepada keadaan, jika ada sekolah yang masih tidak bersedia disebabkan mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

Beliau sudah mengadakan lawatan ke sekolah di Seri Muda, Shah Alam dan Putra Height, yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini, yang merosakkan bahagian bawah sekolah serta kemudahan lain seperti perabot, komputer dan buku teks.

"KPM mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin sebelum sesi persekolahan dibuka.

"Kita harap pihak sekolah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memperincikan keperluan persekolahan yang rosak bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan," katanya.

Sebelum ini, KPM menetapkan sesi penggal ketiga akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B, namun menangguhkannya selama seminggu berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Berikutan itu, sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari 2022 dan keesokannya bagi Kumpulan B.

Beliau memberitahu media demikian selepas menghadiri Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di Dewan Presint 18/R, di sini, hari ini.

Program anjuran Perikatan Nasional (PN) Putrajaya itu disertai 100 kanak-kanak dari kawasan berkenaan.

Selain itu, Radzi berkata, KPM masih akan melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid apabila sekolah dibuka.

Beliau berkata, pihaknya akan mengumumkan maklumat terperinci berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Previous Post Next Post