Pinjaman tanpa faedah mangsa banjir, moratorium 6 hingga 12 bulan



PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa agensi kerajaan dan sektor perbankan melaksanakan inisiatif-inisiatif bagi meringankan beban rakyat dan perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa-mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

Menurut beliau, antara kemudahan adalah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran seperti yang ditawarkan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan peruntukan RM100 juta bagi pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000.

“Ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“Moratorium (rehat bayaran) selama enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu TEKUN Nasional pula mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.

Kata beliau, bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

Beliau memberitahu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

“BNM juga sedang berusaha menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kesemua inisiatif ini adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang diumumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

“Saya amat bersimpati dengan kesengsaraan dan kepayahan yang terpaksa ditanggung Keluarga Malaysia akibat terkesan dengan bencana banjir.

“Mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda,” katanya.

Sumber – UTUSAN ONLINE

 

Post a Comment

0 Comments