Alat tulis naik harga


PETALING JAYA – Gelombang kenaikan harga adalah nyata dan buktinya ada di mana-mana termasuk dalam penjualan alat tulis.

Presiden Kehormat Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia, Datuk Tey Tong Sing berkata, harga alat tulis telah dinaikkan secara berperingkat sejak tahun lalu.

Beliau berkata, daripadanya, alat tulis plastik mencatatkan kadar kenaikan yang lebih besar.

Menurutnya, kenaikan harga merupakan keputusan yang sukar tetapi perlu dilaksanakan kerana tiga faktor iaitu kenaikan kos pengangkutan dan bahan mentah serta kadar pertukaran ringgit yang rendah.

Jelasnya, banyak alat tulis adalah dibuat daripada hasil petroleum dan kenaikan bahan mentah itu juga menyebabkan pergolakan harga untuk alat tulis plastik.

“Bukan sahaja kos pengangkutan luar negara, tetapi kos pengangkutan dalam negeri juga meningkat.

“Hakikatnya, harga untuk banyak barang telah meningkat dan kami juga terpaksa menaikkan harga jualan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurut Tong Sing, disebabkan peniaga faham kesusahan orang ramai yang berdepan pandemik, mereka hanya menaikkan harga secara berperingkat.

“Kenaikan harga dibuat secara perlahan-perlahan pada kadar lima atau 10 peratus supaya pengguna tidak berasa terbeban.

“Jika harga asal sebatang pen adalah RM1, kami akan menaikkannya ke RM1.05 atau RM1, bukannya menaikkan 40 peratus seperti dilaporkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Ujarnya, disebabkan persaingan daripada kedai francais seperti Mr. DIY dan “kedai dua ringgit”, peniaga alat tulis juga berhati-hati semasa menyelaraskan harga.

Katanya, persaingan daripada kumpulan-kumpulan besar menyebabkan kadar kenaikan harga dikawal. – MalaysiaGazette

 

Previous Post Next Post