Guru wanita maut terjatuh dari tingkat empat Lintas Plaza, Kota Kinabalu

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani ujian saringan COVID-19, sebelum proses bedah siasat. - Ihsan pembaca.

KOTA KINABALU: Seorang wanita meninggal dunia dipercayai selepas terjun daripada tingkat empat sebuah bangunan di Lintas Plaza, pada Jumaat.

Wanita berusia 50 tahun itu dilaporkan berdiri di kawasan tempat letak kereta bertingkat sebuah bangunan sebelum bertindak terjun, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan seorang guru tadika, memasuki bangunan berkenaan pada jam 7.10 dan meletakkan kenderaannya di tingkat empat.

Menurutnya, mangsa kemudian dipercayai terjun ke bawah dan disedari orang awam yang kemudiannya telah menghubungi pihak polis.

“Polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 8.05 pagi dan sepasukan polis terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, pasukan forensik polis hanya menemui beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa, dipercayai impak terjatuh dari tempat tinggi.

Jelasnya, tiada senjata ditemui di lokasi yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk menjalani ujian saringan COVID-19, sebelum proses bedah siasat.

 

Post a Comment

0 Comments