COVID-19: Kerajaan tidak akan terus tutup sekolah - KJ

Imej hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak boleh terus mengambil pendekatan menutup sekolah sebagai langkah mengawal penularan COVID-19 pada masa negara menyaksikan peningkatan kluster pendidikan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) yang sentiasa berbincang mengenai penularan wabak berkenaan di institusi pendidikan dewasa ini, sebaliknya mengambil langkah mitigasi meneruskan penilaian risiko berdasarkan sekolah.

Beliau berkata, KKM mendapati ketika ini tidak ada kes jangkitan COVID-19 Kategori 4 dan 5 dalam kalangan pelajar.

Kategori 4 adalah pesakit dijangkiti COVID0-19 mengalami radang paru-paru dan memerlukan oksigen, manakala Kategori 5 memerlukan bantuan pernafasan.

"Pandangan KKM buat masa ini ialah penilaian risiko di peringkat sekolah dan sekiranya ada keperluan, kita minta mereka yang positif supaya jangan datang kesekolah atau diasingkan.

"Penutupan sekolah adalah langkah terakhir yang akan diambil," katanya pada sidang media di KKM yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di sini hari ini.

Khairy berkata, penutupan sekolah apabila wabak COVID-19 melanda negara dan dunia sejak 2020, memberi kesan yang besar terhadap pembangunan, sama ada intelek atau sahsiah pelajar.

"Kita antara negara yang mempunyai penutupan sekolah paling panjang. Jadi, dengan adanya 90 peratus daripada remaja kita sudah divaksinasi, lebih 90 peratus guru sudah divaksinasi dan selepas ini kanak-kanak juga divaksinasi, apa lagi yang boleh kita lakukan?

"Jika kita minta mereka balik untuk belajar di rumah, kita patah balik dan tidak ada kemajuan dari segi pendidikan anak-anak kita," katanya.

Pun begitu, beliau berkata, pihaknya akan berbincang semula dengan KPM jika berlaku penularan yang serius, namun setakat ini jangkitan di sekolah masih boleh ditangani.

Khairy berkata, peningkatan kluster pendidikan juga disumbangkan oleh pelajar di sekolah berasrama, justeru pihaknya akan menambah baik SOP di asrama.

Beliau berkata, apabila pelajar kembali ke asrama, pematuhan terhadap SOP ditetapkan rendah, termasuk mereka tidak memakai pelitup muka atau menjaga kebersihan selain isu pengudaraan.

Ditanya jika KKM akan mengesyorkan supaya guru dan pekerja di sekolah turut dikuarantin dalam kawasan sekolah, Khairy berkata, protokol berkaitan perkara itu akan dibincangkan dengan KPM.

Sabtu lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berdasarkan data KKM, untuk tempoh 1 Januari sehingga 1 Februari lalu, hanya 8,451 kes atau 7.15 peratus daripada keseluruhan 118,238 kes COVID-19 membabitkan kluster pendidikan.

Katanya, daripada jumlah kes direkodkan itu, ia membabitkan keseluruhan 303 kluster pendidikan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 100 kluster atau 33 peratus adalah institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidika (KPM), 86 kluster atau 28.38 peratus institusi pendidikan bukan bawah KPM dan 117 atau 38.62 peratus adalah lain-lain kluster.

Sebanyak 100 kluster bawah institusi KPM membabitkan keseluruhan 5,494 kes. Daripada jumlah itu, 96 kluster membabitkan institusi bawah KPM, manakala empat kluster atau empat peratus adalah institusi swasta yang berdaftar dengan KPM.

Daripada 96 kluster yang membabitkan institusi bawah KPM, 84 kluster adalah membabitkan institusi berasrama termasuk 76 kluster membabitkan asrama harian dan lapan kluster membabitkan sekolah berasrama sepenuhnya.

Jika ambil keseluruhan jumlah institusi berasrama bawah KPM iaitu 1,918 institusi, 84 kluster ini adalah bersamaan 4.38 peratus daripada keseluruhan institusi berasrama bawah KPM. Untuk yang bukan berasrama, terdapat 12 kluster atau 12.5 peratus. Daripada jumlah itu, dua kluster membabitkan sekolah menengah dan 10 kluster sekolah rendah.

 

Previous Post Next Post