Graduan pendidikan opsyen Muzik ‘dianaktirikan’?

“Maaf, anda tidak berjaya di dalam urusan temu duga ini”  

Inilah kalimah yang cukup menyakitkan graduan ikhtisas keguruan. Setelah menantikan peluang lebih 4 tahun, hasilnya sekadar menuai bibit-bibit duka yang cukup memeritkan. 

Tamparan cukup hebat buat graduan pendidikan muzik yang ‘terkandas’ dalam ambilan one-off guru yang diumumkan beberapa hari lepas. Apa tidaknya, berbulan lamanya menantikan keputusan tergantung, sebaliknya disajikan jawapan yang mengecewakan. 

Alamatnya, senasib dengan graduan pendidikan awal kanak-kanak. Jauh sekali menunding ke arah takdir, namun kepincangan sistem yang culas ini perlu diselidiki agar dapat ditambah baik. 

Persoalan yang kerap berlegar menghantui minda, berapa kuota yang dikhaskan untuk opsyen Pendidikan Muzik di sekolah untuk ambilan ini? Ratusan graduan yang berentap, difahamkan hanya 10 orang yang lulus. Adakah logik secara akal setakat 10 kekosongan guru Pendidikan Muzik di seluruh Malaysia? 5 tahun tiada pengambilan, setakat angka ini yang diambil? 

Tidak disangkal, sistem Matriks Opsyen yang diperkenalkan oleh KPM merupakan anjakan paradigma yang tepat, berbekalkan harapan agar dapat memberikan peluang kepada graduan yang tiada kekosongan opsyen di sekolah untuk dilantik sebagai guru. Perkara ini wajar dipuji. 

Namun begitu, mengapakah mekanisme ini tidak diguna pakai bagi graduan Pendidikan Muzik sekiranya hanya 10 kekosongan tempat yang ada? Merujuk kepada permohonan guru ‘one-off’ pada Julai 2021, graduan Pendidikan Muzik hanya layak memohon opsyen Pendidikan Muzik seperti terpampang pada Matriks Opsyen. Ringkasnya, tidak di-layak-kan memohon ospyen yang lain. 

Namun, apakah sebabnya? Adakah dipengaruhi oleh stigma iaitu graduan Pendidikan Muzik tidak tahu mengajar subjek-subjek teras seperti Sejarah, Bahasa Melayu, Matematik masih terbenam di minda? Bukankah ini subjek yang dipelajari ketika UPSR, PMR, SPM suatu ketika dahulu? Realitinya, guru di sekolah tidak mengajar mengikuti opsyen major bukan? PITO, PLC apa fungsinya? 

Dihangatkan pula dengan tomahan graduan Pendidikan Muzik hanya tahu menyanyi dan bermain gitar sahaja. Jika benar inilah telahan yang dirumuskan, maka dahsyat sungguh kekhilafan dibuat. Bersikap adillah kepada kumpulan ini tanpa mengagungkan stigma yang cenderung menghukum. 

Terngiang kembali ungkapan sang pegawai tinggi di satu jabatan dengan selambanya menyatakan, “Di universiti bla bla bla, paling ramai melahirkan graduan muzik-muzik je. Kelulusan ini tak diperlukan pun di negeri ini”. Jika stigma seumpama ini telah dilahirkan, bagaimana mungkin peluang mengajar Pendidikan Muzik akan diberikan di setiap sekolah? Sejauh manakah apresiasi subjek Pendidikan Muzik di Malaysia khususnya di sekolah-sekolah naungan kerajaan? Di Semenanjung Malaysia mungkin tinggi, Sabah Sarawak? Jauh panggang dari api. 

Sebelum layak mengikuti program pendidikan, perlu ditapis melalui Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI). Kalau kecundang, maka cuba lagi. Perlu dimaklumkan, pengajian Pendidikan Muzik di universiti dibentuk menjadi EduTainer. Tahu mendidik, tahu menghibur. 4 tahun mendalami pedagogi pendidikan selain mempelajari kemahiran peralatan muzik. Kumpulan ini juga disuntik dengan disiplin diri yang tinggi. Apa tidaknya, lewat ke latihan muzik, ‘ganjaran’ menanti. Bagi melayakkan diri untuk bergelar pendidik, maka perlu lulus latihan mengajar selama 5 bulan tempohnya. Ilmu pengurusan acara juga turut dipelajari disebabkan perlu menganjurkan konsert berskala besar, yang diadili oleh nama-nama besar dalam Industri Muzik Malaysia. Bukankah perkara ini akan memberikan maslahat kepada pihak sekolah? 

Tahun 2017 merupakan kali terakhir opsyen Pendidikan Muzik dibuka oleh SPP. Bagi ambilan tahun 2020, opsyen ini dibuka khusus untuk anak kelahiran semenanjung Malaysia. Tetapi di Sabah dan Sarawak, ibaratnya telah dijumudkan, malah malar malap sehingga ke hari ini. Menariknya, kedua-dua wilayah ini kerap didengar melahirkan bakat seni suara yang tinggi. Bukankah Pendidikan Muzik ini merupakan pelaburan besar buat kedua-dua wilayah ini dengan mengoptimumkan pengetahuan dan bakat anak-anak muda di peringkat awal? 

Subjek Pendidikan Muzik jelas terpampang pada jadual waktu murid, namun siapakah yang mengajar subjek ini? Adakah graduan yang mempunyai asas kemahiran muzik, atau amalan secara tangkap muat sekadar mengindahkan kertas diagungkan? Cantik dipandang, seksa berdendang? Sebahagian tempat hanya menyalin lirik lagu bagi aktiviti pembelajaran muzik berminggu-minggu. Lebih menyedihkan sekiranya guru yang ditugaskan seorang yang ‘pitch-deaf’ (buta pic). Subjek Pendidikan Muzik ini tidak boleh sewenangnya diberikan kepada guru yang tidak mempunyai asas kemahiran muzik, jika tidak, amalan ‘chalk and talk’ akan kerap ditabur berbanding amalan pragmatik. Tidak hairanlah sekiranya Pendidikan Muzik di sekolah kian membosankan. 

Ambilan guru secara ‘one-off’ tidak disangkal telah mengembalikan senyuman graduan yang kusam. Seribu harapan dipertaruhkan, namun hasilnya, seperti kaca terhempas ke batu bagi opsyen Pendidikan Muzik. Secara denotasinya, ‘gagal berjemaah’. 

Sedih, kecewa, marah, gembira sukar digambarkan melainkan hanya membungkam diri di satu corong yang kelam. Benarkah gagal? Tidak terlintas menongkah arus apatah lagi tersangatlah jauh memintas waktu, namun, begitulah sebuah hakikat pahit yang harus ditelan. Naratif penghujung yang tidak terduga. 

Setelah ‘gagal’ temu duga ambilan guru one-off, seterusnya ke mana? Kumpulan ini lebih gemar membungkam diri menerima takdir. Jika bernasib baik, diterima bekerja di sekolah swasta, bagi yang tidak, kebanyakannya kerja di luar bidang dengan gaji rendah. Jika berkemampuan, maka berkelanalah di rantau seberang. Tapi ruginya kepada negara, graduan berbakat tetapi berkhidmat di negara orang, tidak di tanah air sendiri. 

“Bukan rezeki” tidak kurangnya ungkapan sohor kini oleh sang pembaca. Persoalannya, wajarkah kepincangan sistem yang malar culas disimpulkan dengan kalimah ini?  

Tidak kurangnya dengan frasa “Opsyen anda adalah pasaran terbuka, tiada jaminan penempatan”. Perlu dijelaskan, dalam konteks ambilan guru ‘one-off’, Matriks Opsyen telah diwujudkan untuk memberikan peluang kepada graduan yang tiada kekosongan opsyen di sekolah. Contohnya, graduan pendidikan Matematik dibenarkan memohon opsyen Sejarah dan sebagainya. Tetapi perkara ini tidak berlaku pada lulusan Pendidikan Muzik. Oleh sebab itu, isu tiada kekosongan opsyen tidak laku dalam konteks ini. 

Agak memilukan apabila melihat tangisan air mata rakan seperjuangan yang jiwanya pendidik. Majorit memperolehi keputusan kelas pertama, mata ko-kurikulum yang cemerlang, menyertai Pertukaran Pelajar Antarabangsa di Amerika Syarikat, aktif dalam kepimpinan pelajar dan kemahiran insaniah yang cemerlang, menggondol pelbagai anugerah, namun turut terbabas dalam ambilan ini. Logik secara akal? 

Ikhtisas keguruan sudah ada, pengalaman menjadi guru pun ada, maka apa lagi kayu pengukur yang dihunus? Beberapa inisiatif boleh dibuat sekiranya pihak kerajaan benar-benar prihatin terhadap isu graduan ini seperti: 

i) Menyerap masuk graduan ikhtisas pendidikan melalui lantikan secara ‘Contract of Service’. Tetapkanlah syarat graduan ditegah untuk mohon lantikan tetap PPP DG41 sepanjang tempoh perkhidmatan. Berilah mereka pilihan mengajar subjek mahir selain opsyen major jika benar tiada kekosongan opsyen Pendidikan Muzik. Setelah kontrak tamat, maka lantikan tetap di bawah SPP boleh dikemukakan. Graduan pasti setuju. Pengalaman sebagai guru sudah ada, takkan masih dangkal mengajar? 

ii) Menyerap masuk graduan ikhtisas pendidikan melalui ambilan guru melalui program MySTEP. Sementara menantikan lantikan tetap di bawah SPP, graduan boleh menambah kemahiran atau upskilling pengetahuan sebagai guru. Tidakkah langkah ini secara tidak langsung mencantikkan peratusan kebolehpasaran graduan? 

iii) Membuka opsyen Pendidikan Muzik di seluruh Malaysia melalui Pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 bagi Graduan Pendidikan Universiti Awam pada temu duga yang terdekat. 

Demikianlah sebuah coretan yang agak memamah waktu. Namun, konotasi yang dibawa sekadar memperlihatkan keadaan sebenar, jauh sekali membejatkan suasana. Andai ada waktu yang lapang, ingin sekali duduk bersemuka dengan Dr Radzi Jidin selaku Menteri Kanan Pendidikan dan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan. 

Satu perkara yang pasti, mohon agar cadangan yang dihulur dapat dipertimbang berdasarkan lunas akal yang sewajarnya. 

Kepada rakan-rakan graduan pendidikan yang berjaya, tahniah diucapkan dan berkhidmatlah dengan dedikasi. 

Sekian. 

Post a Comment

0 Comments