MP minta KPM sahkan soalan lisan SPM: Apakah perkahwinan idaman anda?


Bekas timbalan menteri pendidikan era pentadbiran PH, Teo Nie Ching terkejut dengan dakwaan mengenai soalan lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia meminta Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengesahkan jika soalan yang berbunyi, "apakah perkahwinan idaman anda?" itu merupakan sebahagian daripada ujian peperiksaan.

Soalan seperti ini jika benar, katanya langsung tidak sesuai dan tidak harus diberikan kepada pelajar tingkatan lima yang umur mereka baru 17 tahun.

"Mereka tidak sepatutnya fikir pun pasal perkahwinan kerana ada banyak lagi isu yang penting dalam kehidupan mereka seperti pencapaian akademik mereka, cukupkah usaha mereka di sekolah selama ini dan mampukah keluarga mereka membiayai yuran ke universiti idaman mereka.

"Saya menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengesahkan bahawa soalan ini benar-benar ditanya dalam soalan lisan SPM, dan jika benar, memohon maaf kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang terpaksa menjawab soalan sebegitu rupa dan ibubapa mereka," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Teo berkata KPM perlu berikhtiar untuk memberi soalan yang lebih memartabatkan pelajar pada masa hadapan.

Ahli parlimen Kulai itu mengulas ibu bapa dan pelajar yang membangkitkan isu itu dan bantahan di media sosial mengenai soalan lisan peperiksaaan sedemikian.

 

Previous Post Next Post