Peraturan memberikan kebenaran tidak hadir kerja atas sebab kecemasan am

 

Seorang pegawai diarahkan berpindah ke pusat pemindahan banjir kerana rumah/tempat kediaman dinaiki air. Pegawai berada selama seminggu di pusat pemindahan banjir sementara menunggu banjir surut untuk kembali ke rumah. Dalam tempoh berada di pusat pemindahan banjir, pegawai boleh hadir ke pejabat kerana tidak terhalang perjalanan daripada pusat pemindahan banjir ke pejabat. 

Dalam kes ini, adakah peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1/1986 juga terpakai kepada pegawai bagi tempoh selama mana pegawai berada di pusat pemindahan banjir tersebut? 

Berdasarkan PP 1/1986, Ketua-ketua Jabatan diberi kuasa untuk membenarkan pegawai di bawah kawalan masing-masing tidak hadir ke pejabat menjalankan tugas akibat sesuatu kejadian kecemasan yang menyebabkan keadaan memaksa pegawai itu tidak dapat hadir bekerja. Pertimbangan oleh Ketua Jabatan dalam melaksanakan pekeliling ini adalah seperti berikut: 

  • Pegawai tidak hadir bekerja atas sebab-sebab kecemasan seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi, jambatan runtuh atau lain-lain malapetaka dan bencana alam, perintah berkurung dan perintah sekatan am oleh pihak berkuasa yang menyebabkan terhalangnya perjalanan ke pejabat atau ke tempat bekerja biasa; 
  • Kes-kes bencana dan kemalangan yang berlaku atas peribadi atau atas harta benda seseorang pegawai tidak dianggap kecemasan am dan hendaklah mengambil cuti lain yang layak; 
  • Pegawai perlu memaklumkan perkara ini kepada Ketua Jabatan dengan menggunakan borang permohonan seperti di lampiran kepada PP 1/1986 cuti bagi tempoh tidak hadir itu; 
  • Mendapatkan pengesahan tentang bencana alam tersebut dari Pegawai Daerah, Penghulu, Pejabat Polis, Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan dan Siaran Media Massa; 
  • Tempoh kebenaran tidak hadir kerja yang boleh diberikan adalah sepanjang tempoh berlaku kecemasan am atau bencana alam; 
  • Sekiranya Ketua Jabatan tidak berpuas hati dengan perakuan yang dikemukakan, maka Ketua Jabatan boleh memotong cuti rehat tahunan pegawai ataupun menganggap tempoh itu sebagai cuti tanpa gaji sekiranya cuti rehat tahunan pegawai sudah habis digunakan.

Dalam kes ini, pegawai telah diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir kerana rumah/tempat kediaman telah dinaiki air. 

Walaupun perjalanan pegawai dari Pusat Pemindahan ke tempat bekerja tidak terhalang, tetapi situasi dan keadaan memaksa pegawai tidak dapat hadir bekerja boleh dipertimbangkan untuk diberikan kebenaran tidak hadir kerja di bawah PP Bil. 1/1986 oleh Ketua Jabatan sepertimana yang dijelaskan di Perenggan 3.1 pekeliling tersebut. Pada masa yang sama, semua peraturan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam PP Bil. 1/1986 hendaklah dipatuhi.

Seorang pegawai pulang ke kampung di Kelantan tetapi tidak dapat kembali ke Kuala Lumpur kerana jalan ditutup akibat banjir. Adakah pegawai layak dipertimbangkan tidak hadir bekerja di bawah PP Bil 1/1986? 

Berdasarkan perenggan 1.1, PP Bil. 1/1986, pegawai-pegawai tidak hadir bekerja atas sebab-sebab kecemasan seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi, jambatan runtuh atau lain-lain malapetaka dan bencana alam, perintah berkurung dan perintah sekatan am oleh pihak berkuasa yang menyebabkan terhalangnya perjalanan ke pejabat atau ke tempat bekerja biasa boleh dipertimbangkan kemudahan tersebut. 

Ketua Jabatan boleh mendapatkan pengesahan tentang bencana alam tersebut dari Pegawai Daerah, Penghulu, Pejabat Polis, Jabatan Penerangan, Jabatan Kebajikan dan Siaran Media Massa. Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan hendaklah memastikan semua peraturan sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam PP Bil. 1/1986 hendaklah dipatuhi.

Status warga KPM yang dilantik sebagai sukarelawan bagi membantu mangsa banjir, adakah pegawai layak diberi kemudahan Cuti Tanpa Rekod atau pelepasan dan dianggap bertugas rasmi? 

Berdasarkan maklum balas surat JPA rujukan JPA(SARAAN)262/6/3-11 Klt.8 (57) bertarikh 26 Februari 2015 menjelaskan bahawa : Sekiranya program sukarelawan tersebut merupakan anjuran Kementerian/ Jabatan, Ketua Jabatan dengan menggunakan budi bicaranya dan atas kepentingan perkhidmatan, boleh mengarahkan pegawai untuk membantu mangsa banjir/ memulihkan keadaan serta fasiliti-fasiliti yang berkenaan seolah-oleh pegawai menjalankan tugas rasminya. 

Bagi program anjuran NGO dan atas kerelaan pegawai untuk membantu, tiada peruntukan kemudahan Cuti Tanpa Rekod bagi tujuan tersebut. Walau bagaimanapun, pegawai boleh menggunakan kemudahan Cuti Rehat yang ia berkelayakan bagi tujuan tersebut.

Previous Post Next Post