JUSA C bukan untuk guru?


Perkongsian kali ini adalah berkaitan laluan kenaikan pangkat bagi guru-guru yang sedang berkhidmat. 


Tak penting? Gila pangkat? 


Oh tidak, jika anda tidak gila pangkat atau merasakan ianya tidak penting pun, ianya tetap berlaku kepada anda kerana ianya adalah sebahagian daripada proses perkhidmatan kita sehinggalah kita bersara.


Ada beberapa pembaca yang bertanyakan kepada kami berkaitan jawatan akhir yang mampu mereka capai ketika bersara nanti. Jom kita tengok proses-prosesnya.


Terdapat dua cara kenaikan gred di dalam perkhidmatan pendidikan ini. Cara yang pertama adalah melalui kaedah Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) dan yang kedua pula Laluan Cemerlang.


Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK)


Kerajaan telah bersetuju untuk menambah baik dan memperkukuhkan lagi kaedah kenaikan pangkat PPP berdasarkan prinsip TBBK sebagai kesinambungan kepada transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan perguruan.


PPP yang layak dinaikkan pangkat pada 1 Januari 2012 hingga 30 Jun 2013 adalah tertakluk kepada syarat kenaikan pangkat yang telah ditetapkan iaitu hanya mengambil kira markah LNPT dan tempoh perkhidmatan sahaja. 


Mulai 1 Julai 2013, penilaian tahap kecemerlangan dikuat kuasakan selaras dengan surat Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia JPA. BK (S) 255/4/5 Jld. 5 (56) bertarikh 13 April 2012 dan JPA.BK(S) 255/4/5 Jld. 7(13) bertarikh 10 Januari 2013. 


Pelaksanaan Penilaian Tahap Kecemerlangan telah dikuatkuasakan selaras dengan surat JPA rujukan JPA.BK(S)134/4/8-4(74) bertarikh 22 Ogos 2013 mengenai Pemakluman Keputusan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran Bil.4 Tahun 2013 yang bersidang pada 17 Julai 2013. 


Kenaikan pangkat TBBK dilaksanakan tanpa kekosongan jawatan setelah PPP memenuhi tempoh perkhidmatan dan syarat-syarat lain termasuk penilaian tahap kecemerlangan oleh Panel Penilai. 


Kriteria Kecemerlangan ini telah dipersetujui bersama NUTP dan KONGRES dan telah diluluskan oleh LKPPP di JPA.

Sumber: Slaid Taklimat Laluan Kerjaya 
PPPS & PPLD di KPM, 2009


Laluan Cemerlang


Guru-guru yang berminat yang dan memiliki kesungguhan juga boleh memilih laluan ini bagi mempercepatkan proses kenaikan gred mereka.

Laluan ini juga lebih dikenali sebagai Guru Cemerlang. Apa objektif sebenar laluan ini? Adakah sekadar untuk kenaikan gred? Berikut kami kongsikan sedikit objektifnya:

  • Memberi pengiktirafan kepada guru yang cemerlang dalam mata pelajaran atau bidang pengkhususan masing-masing. 
  • Meningkatkan pencapaian kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P). 
  • Menjadikan Guru Cemerlang role model kepada guru lain. 
  • Meningkatkan motivasi guru. 
  • Meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan berkongsi pengalaman dan kemahiran Guru Cemerlang. 
  • Memperluaskan peluang kenaikan pangkat dalam perkhidmatan pelajaran. 
  • Membolehkan guru dinaikkan pangkat tanpa perlu meninggalkan tugas mengajar atau bertukar ke jawatan pentadbiran. 
  • Menyediakan peluang untuk guru naik pangkat ke gred yang lebih tinggi secara laluan laju (fast track), khas Untuk Penyandang (KUP). 

Oleh kerana itu, perkongsian kali ini membincangkan tentang tiga objektif akhir Guru Cemerlang. Kami tidak akan berkongsi secara terperinci bagaimana anda boleh jadi guru Cemerlang. Banyak sumber lain yang anda boleh peroleh dari ruang maya ini berkaitan proses menjadi guru cemerlang.

Terdapat sedikit perbezaan laluan Guru Cemerlang di antara sekolah rendah dan sekolah menengah. Guru sekolah rendah yang hanya boleh memohon Guru Cemerlang sehingga DG48. (Kami akan kupas perkara ini lebih lanjut dalam hantaran yang akan datang). Manakala Guru sekolah menengah boleh memohon Guru Cemerlang hingga Gred Khas C.

Berikut adalah infografik laluan Guru Cemerlang sekolah rendah
Sumber: Surat Tawaran Pemangkuan PPP 
sebagai Guru Cemerlang, 2021


Ini pula laluan Guru Cemerlang sekolah Menengah
Sumber: Surat Tawaran Pemangkuan PPP
sebagai Guru Cemerlang, 2021


Jadi, apa kena mengena dengan tajuk artikel hari ini? JUSA C buka untuk guru? Anda boleh rujuk artikel terdahulu daripada kami berkaitan apa maksud JUSA dan siapa yang boleh memohonnya di SINI.

Secara ringkasnya JUSA membawa maksud Jawatan Utama Sektor Awam. Objektif kenaikan gred secara fast-track ini menekankan memberi peluang kepada guru untuk dinaikkan pangkat tanpa perlu memegang apa-apa jawatan utama. 

Namun begitu, keistimewaan tetap diberikan kepada mereka-mereka yang layak dan memohon untuk dianugerahkan GRED KHAS C seperti mana di dalam infografik di atas. Gred Khas C adalah setara dengan JUSA C hanya berbeza dengan beberapa elaun yang sepatutnya seseorang yang berjawatan peroleh ketika dalam perkhidmatan.

Guru boleh memohon hingga ke gred khas ini selagi beliau layak dan masih dalam tempoh perkhidmatan. Oleh kerana tiada jawatan yang dipegang, maka ianya tidak disebut sebagai Jawatan Utama Sektor Awam atau JUSA.

 

Previous Post Next Post