Calon SPM saksi bapa maut dirempuh kereta depan sekolah


MACHANG – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hilang semangat untuk menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu pagi tadi apabila melihat bapanya maut dirempuh sebuah kereta di Kilometer 6, Jalan Machang-Pasir Puteh selepas menghantarnya ke sekolah pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Zainudin Ab.Samat, 56, yang merupakan seorang pemandu lori meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan. 

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai meletakkan lori yang dipandunya di tepi jalan sebelum memimpin tangan anak lelakinya itu melintas jalan. 

Menurutnya, selepas menghantar anaknya di pintu pagar sekolah berkenaan, mangsa terus melintas dari kiri ke kanan jalan di kawasan bukan lintasan pejalan kaki untuk kembali ke lorinya. 

“Ketika kejadian, sebuah kereta jenis Volvo S70 sedang bergerak di atas jalan raya itu. 

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak mangsa sebelum merempuhnya sehingga pemandu lori itu tercampak dan terjatuh di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. 

Ganti memberitahu, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk bedah siasat. 

“Siasatan lanjut turut mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa kerana melintas jalan di kawasan bukan lintasan pejalan kaki. 

“Anak mangsa dipercayai tidak meneruskan hasrat untuk menduduki peperiksaan SPM pagi tadi selepas kejadian yang menimpa bapanya,” katanya. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

 

2 Comments

  1. Penulis ni sape yer? kalau x tahu kejadian sebenar baik x payah tulis, tlg hormati perasaan keluarga arwah

    ReplyDelete
  2. kalau bukan disebabkan kereta VOLVO S70 tu bawa terlalu laju, mangsa tu akan cedera teruk sampai maut macam ni? lagi-lagi ini kawasan sekolah, boleh ke bawa kereta laju sangat? secara logik, satu kemalangan yang blh jadikan cedera teruk sampai maut macam ni, sebab utama sekali lintasan pejalan kaki atau driver kereta tu terlalu laju?

    ReplyDelete
Previous Post Next Post