Guru interim Bahasa Inggeris lulus temuduga akan dilantik tetap - KPM

PUTRAJAYA - Guru interim Bahasa Inggeris yang dilantik pada 22 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April 2022 serta telah memenuhi syarat CEFR C1 dan lulus temuduga akan dilantik tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP). Perkara tersebut dimaklumkan oleh KPM di dalam satu kenyataan media hari ini.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada urusan lantikan tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 dalam kalangan guru interim Bahasa Inggeris (BI) bagi tahun 2022.

"Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di Malaysia perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap "independent proficiency" seperti yang ditakrifkan oleh Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
"Oleh itu, mulai tahun 2022, urusan pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan BI calon pada tahap proficient, iaitu tahap CEFR C1," katanya.

Dalam masa yang sama, KPM berkata, bagi guru interim Bl yang akan tamat tempoh lantikan interim pada 21 April 2022 tetapi tidak memenuhi syarat CEFR C1, mereka akan turut ditemu duga untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41 oleh SPP dalam masa terdekat. 

"Walau bagaimanapun, mereka perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan," katanya lagi.

KPM berkata mereka akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kompetensi guru Bl bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ini secara langsung akan meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR.


Previous Post Next Post