Isu guru 'one-off' digagalkan: KPM arah SPP perbaiki cara pengambilan


BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi mengatasi isu berbangkit melibatkan pengambilan khas guru secara 'one-off'.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata KPM mengakui berlaku kelemahan dalam sistem pengambilan, dan ia perlu diperbaiki.

"Kita akui bahawa masih banyak sistem pendekatan yang kita perlu perbaiki. Saya juga telah meminta kepada SPP untuk melihat cara macam mana kita memperbaiki cara pengambilan guru ini.

"Jadi YB Menteri (Datuk Mohd Radzi Jidin) juga sentiasa mengharapkan cara yang lebih baik pada masa-masa akan datang.

"Ini bukanlah program pertama dan terakhir. Saya percaya akan ada lagi program sebegini yang akan kita teruskan dan pada masa itu kita akan memperbaiki mana-mana kelemahan yang berlaku sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan sekumpulan Graduan Ikhtisas Pendidikan (GIP) yang mendakwa bahawa tawaran khas guru secara 'one-off' mereka telah digagalkan tanpa mendapat hitam putih, selain ditarik balik semula pelantikan kerana didakwa tidak melengkapkan dokumen.

Memetik laporan media jurucakap kumpulan itu, Siti Khadijah Mohd Lutf berkata antara alasan penarikan tawaran itu adalah dokumen tidak lengkap seperti tiada surat senat, transkrip, penolakan pengambilan guru muzik, guru sejarah, guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) serta isu biasiswa KPM.

Sementara itu, satu dokumen yang diberikan oleh Siti Khadijah kepada Astro AWANI menyatakan lebih 100 calon pengambilan khas guru secara 'one-off' dan telah melepasi temu duga digagalkan kerana masalah teknikal dan kesalahan 'terlepas pandang' daripada pihak pelantikan SPP.

"Kesemua calon berkenaan menuntut hak mereka dalam pelantikan semula oleh kerana mereka telah melepasi temu duga.

"Malah, ramai calon yang hadir ke badan pelantikan berkenaan bagi memastikan status mereka dan mengapa isu ini boleh terjadi," demikian memetik kenyataan itu.

Ditanya apakah berlaku ketidaktelusan dalam pengambilan, Mohamad berkata; "Itu saya tidak pasti. Semua sistem itu memang kita perlu perbaiki kalau ada kelemahan."

Pada Jun tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan KPM akan mengambil 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 secara 'one off' untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini khususnya membabitkan negeri dan mata pelajaran tertentu.

Seramai 8,120 guru baharu pengambilan khas secara 'one-off' yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula 14 Februari lalu.

 

Previous Post Next Post