Gunakan khidmat bas sekolah berdaftar elak kes pelajar hilang

Imej hiasan

SHAH ALAM: Ibu bapa disaran menggunakan perkhidmatan bas sekolah berdaftar bagi mengelak kelewatan anak mereka dihantar ke sekolah dan pulang. 

Malah, keselamatan anak-anak dikatakan turut terjamin apabila insiden murid hilang dapat dielakkan. 

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL), Mohd. Haron Mohd. Sidik dalam satu kenyataan berkata, kes murid hilang akibat ibu bapa lambat mengambil anak akibat jalan ke sekolah sesak. 
Mohd Haron Sidek

“Bila berlaku sesuatu musibah, lekas pula kita tuduh menuduh. Salah siapa, adakah salah pihak sekolah atau pengawal keselamatan? Nasihat PBSSPKL kepada ibu bapa atau penjaga yang bekerja jauh dari sekolah anak dan mempunyai risiko kesesakan lalu lintas, gunakanlah perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar dengan kerajaan. Jangan jadikan orang tidak dikenali sebagai penjaga anak anda,” katanya. 

Sebelum ini, seorang murid perempuan Sekolah Kebangsaan Midah 1, Cheras dilaporkan hilang akhirnya ditemukan selamat. 

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar mengesahkan perkara tersebut. 

Mohd. Haron berkata, jika ibu bapa menggunakan perkhidmatan bas sekolah berdaftar sudah pasti pemandu akan memastikan anak mereka menaiki bas atau van dengan lebih lancar. 

Katanya, ibu bapa tidak boleh meletakkan pihak sekolah sebagai penjaga anak mereka kerana sebagai kanak-kanak yang aktif mungkin mereka boleh hilang atau sebagainya. 

“Anak-anak ini panjang akal dan akan berbuat sesuatu dengan sesuka hati tanpa pengawasan ibu bapa,” katanya.

Jelasnya, ibu bapa perlu korbankan sedikit wang untuk tujuan penghantaran dan pengambilan anak di sekolah. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post