KPM perlu pantau kesihatan mental guru


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memiliki kekuatan politik dalam usaha mengurangkan beban kerja dan tugas bukan mengajar dalam kalangan guru. 

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata beliau memahami beban kerja guru yang meningkat sejak pandemik COVID-19 selain keperluan pengajaran dan pembelajaran dalam talian meningkat, ditambah dengan tanggungjawab bukan mengajar turut menyumbang kepada trend bersara awal. 

Katanya, KPM perlu melihat kesihatan mental guru yang terbeban dengan tugas bukan mengajar selain perlu memastikan tugasan hakiki mereka dilaksanakan. 

"Profesion perguruan memerlukan persediaan yang rapi daripada segala semua aspek termasuklah mental, fizikal dan tenaga. Tenaga yang mereka perlukan dalam mengendalikan kelas bukanlah sedikit. 

"Jika mereka perlu melaksanakan tugas bukan mengajar, bagaimana dengan tenaga untuk mengajar dengan berkesan di dalam bilik darjah?" katanya dalam kenyataan. 

Terdahulu Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataan pada 18 April lalu menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, jauh melebihi statistik KPM. 

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama. 

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen, berkata tugasan hakiki guru yang kini melaksanakan Penilaian Berasaskan Bilik Darjah (PBD) memerlukan tumpuan sepenuhnya dan mereka boleh melakukannya lebih baik jika tidak dibeban dengan tugas bukan mengajar. 

Sehubungan itu, katanya, KPM perlu segera mencari penyelesaian berkenaan isu guru bersara awal dan kesihatan mental golongan itu perlu dijaga. 

"Walaupun terdapat kekosongan pengisian jawatan guru, kita juga melihat ia dapat diisi dengan permohonan graduan berkelayakan yang sedang menanti panggilan temu duga atau surat tawaran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP)," katanya. 

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa terkilan membaca muat naik pada lama media sosial berkenaan guru perlu menggunakan perbelanjaan sendiri bagi menanggung keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

"Ini tidak masuk akal sama sekali namun dalam hal ini KPM perlu memahami situasi yang dihadapi guru. Saya pasti ini juga menjadi satu daripada sebab guru memilih untuk bersara awal," katanya.

 

Previous Post Next Post