Ada pekeliling JPA sudah tidak relevan dan tidak dikemaskini - CUEPACS


KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memberi penekanan terhadap pekeliling yang sudah berkuat kuasa namun atau gagal dilaksanakan sepenuhnya. 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata JPA harus memantau setiap pekeliling yang diluluskan oleh kerajaan supaya hak dan kebajikan penjawat awam tidak terabai. 

Katanya, pekeliling terbabit bukan tidak sesuai dilaksanakan atau tidak relevan tetapi disebabkan keengganan sesetengah jabatan untuk melaksanakannya. 

"Antara pekeliling yang sudah dikuat kuasakan dan dilihat tidak dilaksana dengan sepenuhnya ialah tempoh kenaikan pangkat secara 'time-based' berasaskan kecemerlangan bagi pegawai kumpulan pelaksana. 

"Tindakan sesetengah jabatan tidak melaksanakan pekeliling ini sudah tentu memberi kesan motivasi kerja kepada penjawat awam," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Adnan berkata, pekeliling lain ialah kebenaran penebusan awal 'award' wang tunai Gantian Cuti Rehat sebanyak 80 hari yang dilihat belum dilaksanakan sedangkan ia berkuat kuasa mulai Januari lalu. 

Katanya, kelewatan pekeliling itu dilaksanakan seolah-olah menunjukkan manfaat yang sepatutnya diterima penjawat awam tidak diberikan keutamaan. 

"Penekanan terhadap pemantauan pekeliling yang dikuatkuasakan adalah penting bagi memastikan setiap objektif digarapkan oleh kerajaan untuk penjawat awam berjaya dilaksana dengan berkesan. 

"Pekeliling yang dikuatkuasakan kerajaan sudah tentu sudah menjalani kajian terperinci sebelum ia boleh dilaksanakan. Jika pekeliling terbabit tidak dilaksanakan dengan berkesan, ia merugikan penjawat awam yang mendapat manfaat secara langsung daripadanya," katanya. 

Justeru, CUEPACS berharap JPA dapat menubuhkan jawatankuasa untuk memantau setiap pelaksanaan pekeliling yang diluluskan oleh kerajaan. 

"Kerajaan sudah menggunakan banyak tenaga dan modal kerja bagi membuat kajian kebolehlaksanaan sesuatu pekeliling, maka adalah merugikan jika tiada jawatankuasa dalaman untuk mengaudit pelaksanaannya. 

"Sudah tentu golongan sasaran iaitu penjawat awam tidak akan menerima manfaat untuk setiap pekeliling yang sudah dikuatkuasakan," katanya.

 

Post a Comment

0 Comments