PSC kecewa KPM tidak hadir jemputan ke parlimen


PETALING JAYA: Ketidakhadiran Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin ke mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Pendidikan menimbulkan persoalan sedangkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad boleh menghadirinya setiap kali dipanggil ke mesyuarat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Radzi seharusnya mengambil tindakan sama lebih-lebih lagi isu dihadapi kementerian itu bersifat kepentingan awam.

“Sangat mengecewakan apabila mereka tidak berminat berbincang secara telus melalui mesyuarat ini. Kementerian sudah lama tidak mengambil bahagian dalam mesyuarat, sebaliknya hantar wakil sebagai pemerhati sahaja.

“Masalahnya, pemerhati tidak berkuasa menjawab sebarang persoalan, malah kadangkala soalan berkaitan bukan dalam bidang mereka. Kementerian pula tuduh jawatan kuasa ini melanggar terma rujukan (ToR), tetapi Kementerian Pengajian Ttinggi tiada masalah pula hadir ke mesyuarat kami.

“Perlu diingat, kami bukanlah musuh kepada kementerian. Mesyuarat kami sebaliknya boleh membantu ahli-ahli Parlimen lebih memahami isu-isu berhubung pendidikan dan usaha atau langkah yang telah diambil oleh kementerian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Pengerusi PSC Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengesahkan bahawa Radzi atau mana-mana pegawai kementerian tidak hadir ke mesyuarat jawatan kuasa itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu ‘kitar semula’ soalan peperiksanaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Kementerian Pendidikan didakwa memberi alasan Kabinet tidak membenarkannya hadir, namun PSC tidak menerima alasan itu malah mendakwa telah merendahkan kedudukan Parlimen serta tidak menghormati suara rakyat.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia menjawab dakwaan soalan peperiksaan Bahasa Melayu (ujian mendengar) pada sesi kedua yang dikatakan sama dengan sesi pertama SPM yang telah pun dikongsi secara meluas.

Ekoran itu, Kementerian Pendidikan berjanji meneliti laporan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum sebarang tindakan diambil berikutan dakwaan set soalan SPM 2021 yang sama digunakan untuk sesi kedua peperiksaan.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga ahli Parlimen Kulai daripada DAP berkata, kegagalan jawatan kuasa itu memanggil Radzi ke mesyuarat menyebabkan PSC tidak dapat mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Kami menjemput beliau hadir ke mesyuarat dan kami tiada kuasa memanggil beliau secara sepina seperti mana jawatan kuasa lain yang ada kuasa itu,” katanya. – UTUSAN
Previous Post Next Post