Rangka strategi tingkat kesihatan mental murid

Imej hiasan

Susulan sesi persekolahan tanpa sistem penggiliran bermula 17 dan 18 April lalu, kita perlu sedar kanak-kanak memerlukan bantuan untuk memahami dan pulih daripada impak COVID-19.

Hari ini, kebanyakan tumpuan kita sebagai ibu bapa dan kerajaan adalah dalam persoalan mengejar kecemerlangan akademik. Justeru, ada sesetengah sekolah cuba untuk menggantikan semula 'kehilangan masa dan tempoh pembelajaran yang tertinggal.

Namun, kita perlu sedar, selama bersekolah dalam talian murid juga sebenarnya kehilangan aktiviti fizikal, kokurikulum malah interaksi sosial dengan rakan sebaya.

Tinjauan yang dibuat di Wales kepada 6,000 anak muda berusia lapan hingga 25 tahun antara September 2020 dan Februari 2021 mendapati COVID-19 menjejaskan kesejahteraan mereka secara keseluruhannya. Mereka tidak hanya hilang peluang belajar tetapi interaksi sosial juga sokongan kesihatan mental.

Bagi kelompok kanak-kanak yang lebih muda, mereka menunjukkan kebimbangan terhadap COVID-19 dan berharap wabak itu boleh dihilangkan, selain ingin hidup tanpa norma baharu.

Malah, terdapat sebahagian yang menyebut mereka sudah sering bermain bersendirian dan teringin untuk bersama-sama dengan rakan lain dalam kumpulan yang lebih ramai.

Bagi kanak-kanak, bermain adalah perkara asas untuk mengembangkan kemahiran sosial, keyakinan dan pergerakan asas. Justeru, jika hari persekolahan dipanjangkan atas dasar 'menggantikan semula waktu yang hilang, ia hanya akan memudaratkan kesejahteraan anak-anak ini.

Satu hal yang perlu difikirkan, apabila murid kembali ke sekolah, sistem sokongan bagi memperteguhkan kesihatan mental mereka perlulah dibuat. Mereka perlu tahu maklumat mengenainya dan capaian informasi juga mestilah sampai ke pada mereka.

Dalam hal ini, kanak-kanak perempuan lebih berkemungkinan mengalami masalah kesihatan mental berbanding lelaki. Malah, jurang jantina ini mungkin meningkat apabila usia bertambah.

Malah, sebenarnya pengalaman belajar dalam talian itu juga mencetuskan kebimbangan. Ada sesetengah pelajar mampu menanganinya dengan baik. Mereka berasa bebas tekanan dan belajar dengan baik di rumah sendiri.

Namun, bagi sesetengah yang lain, kelas bebas tanpa dipimpin guru secara bersemuka agak menyukarkan mereka terutama bagi murid yang berada dalam tahun peperiksaan. Apapun, luahan dan pandangan pelajar seharusnya didengar kerana mereka perlu diberi sokongan dari sudut kesihatan mental. Ia adalah sebahagian daripada pelan pemulihan COVID-19.

Azizi Ahmad, Segambut,
Berita Harian
Previous Post Next Post