Risiko tanah runtuh, bangunan sekolah tidak selamat ancam nyawa murid, guru

ALOR GAJAH - Lebih 200 murid Tahun Dua, Empat dan Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat di sini terpaksa meneruskan pembelajaran secara penggiliran selepas bangunan sekolah mereka didakwa tidak selamat digunakan. 


Ia berikutan tindakan pemaju projek perumahan bersebelahan sekolah didakwa membuat potongan tebing tidak mengikut spesifikasi ditetapkan sehingga menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di sekolah itu. 

Taufik 

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Simpang Ampat, Taufik Abd Rahman, 48, berkata, bermula sesi persekolahan Mac lalu, pihak sekolah telah menerima arahan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mengosongkan bangunan tiga tingkat iaitu blok C selagi Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak mengeluarkan sebarang pengesahan sama ada bangunan itu selamat diduduki atau sebaliknya. 

Menurutnya, disebabkan masalah berkenaan, bukan sahaja sistem penggiliran diteruskan malah beberapa kelas terpaksa menggunakan bilik tayang, bengkel reka bentuk teknologi dan perpustakaan kerana kekurangan bilik darjah.

"Kasihan anak-anak terpaksa belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan panas.

"Sekolah-sekolah lain telah memulakan sesi persekolahan tanpa penggiliran malangnya sekolah ini sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, lebih yang membimbangkan bangunan yang menempatkan surau, makmal komputer dan makmal sains di bahagian bawah terpaksa digunakan bagi menempatkan dua kelas pra sekolah membabitkan seramai 70 murid berusia enam tahun. 

"Cuba bayangkan dengan keadaan cuaca yang kerap hujan sejak akhir-akhirnya tidak mustahil pergerakan dan runtuhan tanah akan terus berlaku.

"Malah tembok di bahagian belakang bangunan yang berdekatan kelas murid pra sekolah juga telah retak dan hanya menunggu masa untuk runtuh," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Taufik berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil serius isu ini. 

Taufik menunjukkan tembok yang telah retak dan menunggu masa untuk runtuh.

"Masalah ini memberi risiko kepada murid-murid, 37 guru serta sembilan staf sokongan.

"Nyawa anak-anak berada dalam keadaan berisiko dan mereka belajar dalam suasana tidak selesa," katanya. 

Mohd Taro

Sementara itu Mohd Taro Jaafar, 66, berkata, dia bimbang pembelajaran lima orang cucunya berusia tujuh hingga 12 tahun terganggu disebabkan terpaksa ke sekolah bergilir-gilir.

"Sekiranya keadaan itu berpanjangan, saya bimbang akan lebih ramai murid ketinggalan. Saya difahamkan ada murid Tahun Tiga yang masih tidak tahu membaca.

"Kalau penggiliran ini berterusan, murid akan keciciran dalam pelajaran kerana sukar untuk memahami pelajaran jika tidak dibuat secara bersemuka," katanya.

Mohd Nor Firddaus Razuan, 36, pula berharap pihak berkenaan termasuk Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) lebih prihatin mengenai isu berkenaan.

"Ini bukanlah isu baharu namun terpaksa dihadapi pihak sekolah sejak projek perumahan itu bermula lebih dua tahun lalu. 

Sehinggakan kantin juga didakwa tidak selamat untuk digunakan. "Bantulah agar anak-anak kami dapat belajar seperti murid lain dalam keadaan selesa dan selamat," katanya. 

Previous Post Next Post