Murid Tahun 4 dakwa dipukul guru alami kecederaan tisu lembut


Bentong: Murid perempuan Tahun Empat mendakwa dipukul oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di daerah ini, Isnin lalu. 

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pada 9.59 malam, Isnin lalu. 

"Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dipukul seorang guru lelaki berusia 50 tahun menggunakan tangan. 

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan. 

"Pihak doktor mengesahkan mangsa mengalami 'soft tissue injury' akibat dipukul," katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. 

"Sebarang maklumat yang mahu disalurkan kepada pihak polis boleh dilakukan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

 

Previous Post Next Post