Anggota polis maut akibat lemas di lubuk air terjun

LOKASI seorang anggota polis lemas dekat lubuk di kawasan air terjun Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan, Ipoh semalam.- IHSAN JBPM PERAK


IPOH – Seorang anggota polis ditemui lemas ketika mandi bersama keluarganya di kawasan air terjun Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan di sini semalam. 

Kejadian sekitar pukul 5.55 petang itu disedari apabila mangsa, Lans Koperal Amirul Izuddin Muhammad, 28, tidak timbul di permukaan air selepas terjun ke dalam lubuk sungai berkenaan. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa yang bertugas di Bahagian D8 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman datang ke lokasi sekitar pukul 4 petang bersama isteri, keluarga dan rakan-rakan. 

Katanya, mangsa kemudian telah naik ke kawasan bukit bersama dengan empat lelaki untuk mandi di lubuk yang agak dalam sebelum terjun dan disedari tidak timbul. 

“Rakan dan saudara mangsa cuba menunggu kira-kira lima minit namun mangsa masih tidak kelihatan. Mereka segera keluar dari kawasan itu untuk menghubungi talian kecemasan 999. 

“Operasi mencari lelaki itu segera dijalankan sebelum mangsa ditemui lemas pada pukul 11.15 malam di dalam lubuk berkenaan. 

“Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala dipercayai akibat terkena batu di dalam air semasa terjun ke dalam lubuk tersebut,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.

 

Previous Post Next Post