Kehadiran menggalakkan lepas raya, murid teruja berbelanja di kantin

Imej hiasan

JERANTUT: Cuti Hari Raya Aidilfitri selama seminggu tidak menjejaskan kehadiran murid di beberapa sekolah kawasan Felda dan kampung tradisional di daerah ini untuk kembali ke sekolah bermula semalam.

Hal ini berikutan tempoh cuti seminggu terlalu singkat untuk keluarga murid berkenaan berhari raya ke tempat lain di samping mereka masih lagi waspada dengan ancaman wabak Covid-19 walaupun negara sudah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

Kehadiran yang ramai menunjukkan murid begitu teruja untuk kembali belajar dengan selesa malah didorong pula dengan kelonggaran peraturan, iaitu antaranya murid sudah boleh makan duduk beramai-ramai di kantin sewaktu rehat berbanding dua tahun lalu.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Felda Kota Gelanggi Dua, Anuar Rahman berkata, sebanyak 92 peratus daripada 426 murid sekolah tersebut hadir ke sekolah semalam.

“Senario kehadiran murid sekolah ini amat memberangsangkan berikutan murid teruja untuk kembali ke sekolah lebih-lebih lagi apabila kebenaran boleh menikmati makanan di kantin bermula semalam dan ini memberikan peluang murid bercampur-gaul bersama rakan.

“Kemungkinan segelintir murid yang tidak hadir semalam masih bercuti dan berhari raya di kampung keluarga masing-masing dan saya yakin kehadiran akan meningkat melebihi 94 peratus sasaran kehadiran harian sekolah ini,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini semalam.

Perkara sama turut dikongsi guru SK Pulau Mansok, Mohamad Zamri Mat yang menjelaskan kehadiran murid di sekolah kampung tradisional itu amat memberangsangkan daripada sejumlah 142 orang murid yang belajar di situ.

“Kebiasaanya murid dalam kalangan keluarga yang menetap di sini dan mereka tidak bercuti di tempat lain cuma mereka hanya menyambut hari raya di kampung ini lagipun kebanyakan keluarga masih berwaspada dengan ancaman wabak Covid-19,” kata di Pulau Mansok di sini.

Jelasnya, perubahan peraturan di sekolah antaranya murid boleh berehat dan berbelanja makan di kantin beramai-ramai mulai semalam antara punca ramai gembira serta selesa hadir ke sekolah. –UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post