KPM bangunkan aplikasi susun jadual waktu sekolah

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin (tengah) ketika hadir merasmikan Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan kampus Bachok di sini hari ini. - foto BERNAMA

BACHOK: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewujudkan aplikasi penyusunan jadual yang akan digunakan semua sekolah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kemudahan itu akan disediakan dalam masa terdekat.

Katanya, menerusi aplikasi berkenaan, ia akan memudahkan pihak sekolah menyediakan jadual lebih anjal membabitkan tiga hingga empat subjek sehari.

"Sekarang ini kebanyakan sekolah membeli aplikasi untuk penyediaan jadual daripada vendor tertentu dan hasil kita turun di lapangan juga mendapati pihak sekolah berdepan masalah untuk penyediaan jadual.

"Justeru, KPM tetapkan untuk membangunkan satu aplikasi yang membolehkan sistem terbabit membuat penyusunan jadual berdasarkan maklumat yang diisi pihak sekolah dari segi bilangan guru dan kelas," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Pada masa sama, Radzi memaklumkan, pihaknya akan menyiapkan satu sistem berpusat bagi memudahkan guru mengakses segala maklumat yang diperlukan selain mengisi data guru dan murid.

"Jika sebelum ini, guru perlu melakukan dua kerja yang sama apabila perlu mengisi maklumat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Masalah ini membuatkan kebanyakan guru merungut disebabkan ketidakcekapan sistem yang dihadapi. Masalah itu akan dapat diselesaikan dengan adanya sistem berpusat," katanya.

 

Previous Post Next Post