Ibu bapa, guru setuju pasang lokar untuk disewa di sekolah, kata syarikat

Ahmad Syahrin Mohd Roslan berkata, syarikatnya telah memasang lebih 3,000 lokar di kira-kira 30 sekolah. (Gambar Gamma Epsilon Square Sdn Bhd)

PETALING JAYA: Syarikat yang menawarkan lokar untuk disewa kepada sekolah-sekolah di Lembah Klang menjelaskan bahawa projeknya dilaksanakan dengan persetujuan persatuan ibu bapa dan guru sekolah dan tidak ada apa-apa yang disembunyikan.

Pengarah Urusan Gamma Epsilon Square Sdn Bhd Ahmad Syahrin Mohd Roslan berkata, syarikatnya menjalankan perniagaan sejak 2013 dan telah memasang lebih 3,000 lokar di kira-kira 30 sekolah.

Katanya, ini telah berjaya membantu mengurangkan berat beg sekolah.

Beliau memberi penjelasan susulan laporan FMT bulan lepas yang memetik ibu bapa dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebagai berkata, mereka tidak bersetuju dengan langkah itu.

Syahrin berkata, pelan itu yang menghendaki pelajar membayar sewa RM120 setiap tahun untuk lokar secara sukarela, termasuk deposit RM10 yang akan dikembalikan, sebenarnya membantu pelajar meringankan dengan ketara beban beg sekolah berat.

“Ideanya adalah untuk bekerjasama dengan sekolah menyewakan lokar untuk beberapa tahun sebelum menyerahkannya kepada sekolah. Sehingga masa itu, kami menjalankan penyelenggaraan lokar tiga kali setahun. Kami faham kekangan bajet negara.

“Justeru kami merangka pelan jangka panjang ini yang akan memberi manfaat kepada pelajar, sekolah dan negara bagi mencapai sasaran beg sekolah yang lebih ringan.

“Maklumlah, beg sekolah boleh jadi berat. Kami buat tinjauan sebelum buat tawaran ini,” katanya kepada FMT.

Dalam laporan itu, NUTP dan ibu bapa bertanya mengapa sekolah menyumber luarkan sesuatu yang diumumkan kerajaan akan dilaksanakan secara percuma, dengan mendakwa, mungkin wujud unsur kronisme.

Sehubungan itu, Syahrin berkata, tuduhan kronisme adalah tidak adil kerana syarikatnya kecil dan mempunyai bajet terhad.

“Jika kami kroni kerajaan, kami tentu dapat bajet untuk melaksanakan (projek) ini. Bajet RM37 juta yang diperuntukkan untuk lokar di sekolah rendah hanya diumumkan baru-baru ini apabila kami telah berkecimpung dalam bidang ini selama lebih lapan tahun.

“Banyak kali kami cuba hubungi kerajaan mengenai pelan lokar ini tetapi tidak dapat sebarang maklumat setakat ini,” katanya.

Beliau berpendapat, menawarkan lokar untuk disewa dan kemudian menyerahkannya kepada sekolah adalah cara terbaik untuk mengurangkan berat beg sekolah yang ditanggung pelajar.

Tambahnya, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan sesiapa yang berminat dengan pelannya.

 

Previous Post Next Post