KPM umum ahli jawatankuasa tambah baik kendalian kes seksual


KUALA LUMPUR: Lapan individu dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata mereka yang dilantik itu terdiri daripada kalangan individu berpengalaman dan mempunyai latar belakang profesion berbeza dengan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini adalah antara pendekatan KPM untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes berkenaan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM.

"Kami yakin serta percaya, dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahli ini, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu KPM meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian yang boleh diambil bagi menangani kes gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM," katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu Radzi memaklumkan, semalam beliau menyerahkan watikah pelantikan kepada pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan bawah KPM.

Antara ahlinya adalah bekas pegawai kanan kerajaan, pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).

"KPM komited melakukan yang terbaik," katanya.

Selain Habibah, jawatankuasa itu dianggotai Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang; Pakar Psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor dan bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga pengamal undang-undang, Datuk Dr P Sundramoorthy.

Empat yang lain adalah Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan; Datuk Sutinah Sultan; Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dan Datuk Sulaiman Wak.

 

Previous Post Next Post