Mana lokar sekolah yang KPM janjikan tanya bekas timbalan menteri pendidikan


PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching menggesa kerajaan memberi jawapan berhubung loker sekolah yang dijanjikan bagi menangani masalah beg sekolah yang berat. 

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, sudah dua bulan sejak kerajaan membuat pengumuman itu, tetapi loker berkenaan nampaknya masih belum dipasang. 

“Sebaliknya, sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur menawarkan loker untuk pelajar menyimpan buku mereka dengan bayaran RM120 selama lapan bulan,” katanya dalam kenyataan. 

Sekolah itu telah menyumberluarkan pemasangan dan penyelenggaraan loker kepada sebuah syarikat swasta, katanya memetik laporan FMT sebelum ini. 

“Ini jelas menggambarkan betapa Kementerian Pendidikan gagal menyelesaikan isu beg berat.” 

Teo menegaskan, beliau meminta Kementerian Pendidikan memberikan garis masa mengenai pemasangan loker ketika sidang Dewan Rakyat 21 Mac lalu. 

“Malangnya, Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon tidak dapat memberikan sebarang penjelasan,” katanya selain menambah bahawa Mah berkata, lebih banyak kajian perlu dilakukan sebelum sebarang garis masa konkrit boleh diberikan. 

Pada 6 Mac, kementerian berkata, pihaknya akan menyediakan loker di sekolah rendah dengan kos sebanyak RM37.3 juta. 

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, fasa pertama akan melibatkan murid Tahun Satu, Dua dan Tiga di sekolah yang beroperasi dalam dua sesi. Ia akan memberi manfaat kepada 323,186 murid dalam 10,662 kelas. 

Fasa kedua, yang dijangka bermula tahun depan, akan melibatkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam di sekolah yang beroperasi dalam dua sesi. 

Teo berkata, kementerian perlu menyediakan garis masa yang jelas tentang bilakah loker itu akan dipasang “sebelum lebih banyak persatuan ibu bapa dan guru mengambil langkah sendiri dengan menyewa loker untuk pelajar mereka”.

 

Previous Post Next Post