Murid Tahun 4 maut digilis treler, ibu cedera



BUKIT MERTAJAM: Seorang murid perempuan Tahun Empat maut digilis, manakala ibunya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kampung Baru Alma, di sini, hari ini. 

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Empat berusia 10 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya. 

"Ketika itu, penunggang motosikal (ibu kepada kanak-kanak perempuan) sempat menyelamatkan diri namun pembonceng (anaknya) digilis sebuah lori (treler) yang datang dari arah sama. 

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini. 

Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat manakala ibunya turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan. 

Shafee berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu dalam perjalanan dari sekolahnya yang turut mengadakan sambutan Aidilfitri hari ini.

 

Previous Post Next Post