Sekolah Alternatif wujud kelas pemulihan, bantu kanak-kanak ketagih hidu gam

Kesatuan Pelajar di Sekolah Alternatif di Semporna, Sabah, tampil membantu kanak-kanak yang mempunyai ketagihan hidu gam dengan mewujudkan Sekolah Pemulihan Gam secara percuma. (Gambar Facebook Sekolah Alternatif Semporna)


PETALING JAYA: Siapa sangka, kanak-kanak miskin tanpa kerakyatan terdedah dengan masalah sosial menghidu gam seawal usia 5 tahun di Semporna, Sabah. 

Aktivis yang juga guru Sekolah Alternatif Semporna Mukmin Nantang berkata, tahap seriusnya masalah itu apabila mereka tidur di merata tempat dan berjalan tanpa pakaian seolah-olah terabai tanpa bimbingan. 

Bimbang dengan situasi itu, Kesatuan Sekolah Alternatif tampil mewujudkan kelas pemulihan gam secara percuma yang mencari anak-anak ini rumah dan kawasan di tempat mereka bermain.

“Seramai 10 sukarelawan bertindak sebagai guru, tukang masak dan menguruskan dokumentasi anak-anak ini. 

“Kami wujudkan kelas pemulihan gam supaya lebih ramai anak-anak keluar daripada gejala hidu gam,” katanya kepada FMT. 


Sekolah Alternatif kini mempunyai 20 orang pelajar terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lapan hingga 15 tahun, menurut seorang guru. (Gambar Facebook Sekolah Alternatif Semporna)

Untuk rekod, Sekolah Alternatif dibangunkan oleh organisasi ‘Borneo Komrad’ pada 2015. 

Mereka terdiri daripada mahasiswa dari gerakan Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan aktivis bagi memberi peluang pendidikan kepada anak-anak miskin dan tanpa warganegara yang berada di negara ini. 

Sehingga kini, Sekolah Alternatif mempunyai empat lokasi di Sabah iaitu dua di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna. 

Manakala bagi kelas pemulihan menghidu gam, adalah yang pertama diwujudkan menerusi Sekolah Alternatif bertempat di Semporna sejak sebulan lalu yang kini mempunyai 20 orang pelajar terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lapan hingga 15 tahun. 

Kelas tanpa paksaan ini ternyata telah menarik minat anak-anak ini menerusi pendekatan pendidikan tidak formal iaitu menjaga kebersihan diri, keselamatan, menari, menonton filem dan seterusnya didedahkan dengan membaca dan mengira. 

Sukarelawan Kesatuan Pelajar Sekolah Alternatif akan mendekati kanak-kanak yang tidak bernasib baik itu di rumah dan kawasan berdekatan yang menjadi tempat mereka bermain. (Gambar Facebook Sekolah Alternatif Semporna)

“Pada awalnya, kami dedahkan anak-anak ini kepada hal-hal kebersihan seperti potong kuku, berus gigi, cuci tangan, cuci muka, cuci kaki sebab anak-anak ini keadaan sangat teruk, kadang pergi sekolah tidak mandi, baju sangat kotor, tidak pakai selipar jadi aspek kebersihan hal yang utama,” kongsinya. 

Ketagihan gam dapat ditangani

Sejak dibuka, Mukmin berkata dia melihat kesan positif kerana ada sebahagian dari anak-anak ini sudah berhenti menghidu gam sepenuhnya. 

“Dulu datang mereka dalam keadaan kotor, sekarang datang dalam keadaan yang bersih. Kelas mula 9 pagi, mereka mula datang 6.30 pagi, jadi benda ini sangat positif. 

“Disebabkan hal ini, ramai anak-anak lain, jiran-jiran lain yang anak-anak terdedah dengan hidu gam hantar anak-anak mereka ke sekolah,” katanya. 

Mukmin turut mengharapkan anak-anak ini dapat keluar sepenuhnya dari masalah menghidu gam dan mendapat peluang pendidikan seperti kanak-kanak yang lain.

 

Previous Post Next Post