Warden Asrama: JKPPH garis 4 cadangan kepada KPM


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertindak secepat mungkin untuk menangani isu warden asrama bagi memastikan bebanan guru dikurangkan. 

Dalam satu kenyataan pada Isnin, JKPPH turut menggariskan empat cadangan kepada KPM, antaranya jawatan warden sepenuh masa di asrama dilantik dalam kalangan bukan guru di mana kedudukannya sama dengan kedudukan jawatan jurulatih sepenuh masa, kaunselor berdaftar dan pembantu makmal. 

"Manakala guru warden boleh dilantik di kalangan guru akademik (jumlah masa mengajar dikurangkan) yang bertugas memimpin dan memantau warden sepenuh masa di asrama. 

"Jumlah warden dengan nisbah jumlah pelajar mestilah realistik dan mencukupi serta menaikkan elaun warden kepada guru yang memikul tugas tersebut," katanya. 

JKPPH berkata, terdapat pelbagai keluhan daripada guru-guru berkaitan bebanan tugas mereka yang begitu banyak sehingga menjejaskan tumpuan mereka untuk mendidik. 

"Antaranya berkaitan guru yang ditugaskan menjadi warden di asrama dalam sekolah-sekolah di bawah KPM yang masih belum selesai. 

"Jawatankuasa Pendidikan PH mengambil maklum adanya usaha awal KPM untuk mengatasi masalah ini dengan turun melihat sendiri keadaan sebenar dan mengambil maklum keluhan guru yang terbeban sebagai warden. 

"Namun, sehingga hari ini masih belum ada keputusan yang jelas apa tindakan yang KPM akan ambil untuk menyelesaikan masalah tersebut," ujarnya. 

Tambah JKPPH, memandangkan hujung minggu ini, proses kemasukan pelajar berasrama penuh akan berjalan, maka wajar KPM mengumumkan langkah bagi memastikan guru yang memikul tugas warden tidak terbeban.

 

Post a Comment

0 Comments