'Agak keterlaluan sifatkan guru tidak bersedia'

Dr. Mohammad Tazli Azizan

PETALING JAYA: Perubahan besar terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran termasuk memansuhkan peperiksaan awam menyebabkan sistem pendidikan negara dilihat mengelirukan dan tidak konsisten sehingga menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 (PAK21).

Perubahan ini dibimbangi menghakis proses PAK21 yang berpusatkan murid berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan aplikasi nilai murni serta etika.

Meskipun kaedah pembelajaran Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan baru-baru ini diperakui membantu pelajar mengembangkan kemahiran diri mereka, namun, sistem pendidikan negara yang tidak konsisten ini membuatkan guru dilihat tidak dapat mengadaptasikan satusatu sistem itu dengan baik, pantas dan menyeluruh.

Bekas ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN), Dr. Mohammad Tazli Azizan berkata, pihaknya dapat melihat guru agak bergelut dengan pentaksiran alternatif terutamanya Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Bagaimanapun, katanya, agak keterlaluan untuk menyifatkan golongan guru masih belum bersedia dengan PAK21, namun, lebih banyak ruang perlu dimanfaatkan oleh guru untuk memperkasakan diri mereka sebagai pendidik abad ke-21.

"Kita tahu bahawa kemahiran abad ke-21 sangat penting untuk generasi masa hadapan. Jika tidak diperkayakan dalam diri mereka, ia tak mampu membantu menjadikan pelajar-pelajar ini seseorang yang memenuhi kualiti future workforce.

"Oleh itu, mengurangkan peperiksaan bertulis dan lebih memperbanyakkan pentaksiran alternatif dan dinilai dari segi pemerhatian, lisan dan pengalaman pembelajaran sangat penting.

"(Namun), isunya sekarang adalah sejauh mana para guru dilatih untuk melakukan pentaksiran alternatif selain daripada peperiksaan bertulis semata-mata dan benar-benar menjiwai PBD," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Previous Post Next Post